
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menyifatkan dakwaan kononnya PAS ditawar jawatan Timbalan Perdana Menteri jika menyertai Kerajaan Perpaduan sebagai usaha mengalihkan perhatian daripada krisis keyakinan yang sedang dihadapi kerajaan.
Beliau merujuk kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Dr Maszlee Malik yang mendakwa PAS akan ditawarkan jawatan berkenaan sekiranya bersama kerajaan.
“Entah mimpi waktu tidur ke, atau memang tugas khas nak alih perhatian dari kapal yang sedang karam?” sindirnya dalam satu kenyataan dalam media sosial miliknya.
Ujarnya, mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) pada 25 Julai lalu telah membuat ketetapan jelas bahawa tiada ruang untuk bersama dengan pihak yang sedang bergelut dengan krisis kepercayaan rakyat.
“PAS tak lapar jawatan, lebih-lebih lagi bila jawatan itu datang dari dapur yang sedang berasap dan dapur sendiri pun tak terurus. Nak ajak PAS masuk kapal bocor, lepas tu hulur pelampung bernama TPM? Maaf, PAS tidak jual maruah demi jawatan,” tempelaknya.
Menurut Ahli Parlimen Bagan Serai itu, rakyat baru memberikan isyarat jelas menerusi Himpunan Turun Anwar pada 27 Julai lalu yang menjadi bukti semangat rakyat bersama PN.
“Walaupun ‘cuma’ 15,000 hadir dan tinggalkan ‘hadiah’ 20 tan sampah, cukup buat geng perpaduan berpeluh dalam bilik mesyuarat,” sindirnya lagi.
Katanya, PAS akan terus mara bersama rakyat tanpa perlu dipancing dengan tawaran jawatan, apatah lagi dari kapal yang sudah senget. – HARAKAHDAILY 29/8/2025











