
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) diminta menyatakan ulasan mengenai kejadian kebakaran paips gas di Putra Heights pada 1 April lalu.
Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkata, kerajaan perlu merangka polisi khususnya bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang serta memusnahkan harta benda dan mengancam nyawa penduduk.
Beliau berkata, sehingga hari ini belum ada laporan konklusif terhadap punca kejadian tersebut berlaku melainkan kerajaan negeri Selangor menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat isu itu.
“Satu jawatankuasa akan dibentuk ini diwakili tujuh profesional untuk menyiasara dan apa yang disebut soal tanah longgar dan lembut menjadi punca kepada keretakan ini penyumbang utama dalam kebakaran ini.
“Kejadian ini perlu siasatan, adakah kerajaan akan melihat tidak akan benarkan kawasan pada paip gas ini untuk sebarang aktiviti, saya lihat agensi yang memberi kelulusan ini sepatutnya bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan pertanyaan pada soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad sempena persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Ahli Parlimen Lipis itu menjelaskan sisatan terhadap tragedi tersebut dibuat mengikut piawaian antarabangsa, bahkan pihaknya menjadikan kejadian tersebut sebagai panduan supaya kebakaran sama tidak berulang.
Beliau mengakui bahawa insiden itu berlaku bukan berpunca dari aktiviti setempat termasuk pengorekan tanah oleh kontraktor Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang didakwa mengakibatkan kebakaran besar tercetus.
“Dalam hal ini sudah pastilah masa mendatang ini, kita akan lebih teliti untuk pastikan bahawa ia akan dijadikan panduan kepada kita dalam proses tersebut dan kerja-kerja penggantian hari ini sedang dilakukan.
“Kita menentukan perkara tersebut supaya kontraktor melakukan pembaikan ini mengikut piawaian antarabangsa,” katanya ketika mengulas mengenai penyelesaian insiden kebakaran dengan api menjulang setinggi lebih 30 meter.
Media sebelum ini melaporkan kejadian itu menyebabkan suhu sekitar kawasan tersebut mencecah lebih 1,000 darjah celsius dan pihak berkuasa terpaksa bertungkus lumus sehingga lebih lima jam untuk dipadam sepenuhnya.
Akibatnya lebih 100 buah rumah penduduk musnah, 57 lagi kediaman terjejas akibat suhu yang tinggi sementara 218 rumah terkesan akibat kebakaran dapat dilihat sejauh beberapa kilometer dari lokasi kejadian. – HARAKAHDAILY 28/7/2025











