
KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa kerajaan negeri mengharamkan penggunaan vape dan menghentikan lesen perniagaannya menjadi isyarat jelas bahawa Kerajaan Persekutuan perlu menggubal dasar lebih tegas dalam menangani isu rokok elektronik.
Dato’ Ustaz Ahmad Yahya (PN-Pokok Sena) berkata, keputusan Jawatankuasa Fatwa di beberapa negeri yang mengharamkan vape menunjukkan kebimbangan terhadap kesan kesihatan produk tersebut semakin meningkat.
“Sudah ada berapa negeri melalui jawatankuasa fatwa negeri telah putuskan pengharaman vape. Dalam masa sama, kerajaan-kerajaan negeri sudah mengambil langkah untuk memastikan lesen perniagaan rokok elektronik ini dihentikan.
“Ini mmenunjukkan satu sokongan secara tidak langsung untuk kementerian kembali menggubal suatu dasar yang lebih tegas,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Susulan itu, beliau menggesa Kementerian Kesihatan untuk memperkenalkan semula dasar Generational End Game (GEG), yang sebelum ini dicadangkan, tetapi belum dilaksanakan.
“Adakah kerajaan bercadang untuk memperkenalkan semula dasar GEG
iaitu generasi penamat rokok sebagaimana pada awalnya bagi memastikan langkah kawalan kesihatan tanpa rokok dan e-rokok dalam kalangan rakyat dapat benar-benar dilaksanakan?” soalnya.
Menjawab pertanyaan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, peruntukan GEG tidak dapat dimasukkan ketika penggubalan dan kelulusan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 [Akta 852].
Namun katanya, kerajaan bersedia menilai semula cadangan tersebut berdasarkan bukti dan dapatan klinikal semasa.
“Saya pernah nyatakan bahawa sekiranya terdapat bukti saintifik dan klinikal yang mencukupi, kita bersedia meneliti semula peruntukan GEG. Namun buat masa ini, keutamaan kita adalah melaksanakan Akta 852 dengan kawalan ketat terhadap semua produk merokok termasuk vape,” katanya.
Dalam soalan asal, Ahmad Yahya minta Menteri Kesihatan menyatakan pendirian kementerian terhadap langkah beberapa kerajaan negeri yang menghentikan pengeluaran lesen perniagaan rokok elektronik dan vape dalam negeri masing-masing. – HARAKAHDAILY 28/7/2025











