
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) diminta mempertimbangkan langkah segera menggalakkan pelabur menggunakan pelabuhan domestik dalam urusan eksport dan pengeluaran kilang.
Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mencadangkan demikian termasuk bagi pembangunan kawasan industri seperti Kedah Rubber City ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
“Saya ingin bertanya kepada kementerian, untuk jangka pendek, jika kilang di Kedah Rubber City dibina dalam masa setahun dua, ia pastinya akan menggunakan pelabuhan domestik,” ujarnya.
Antara pelabuhan yang dimaksudkan termasuklah Port Klang, Pelabuhan Pulau Pinang, serta kawasan berpotensi di Perlis dan Bukit Kayu Hitam.
Nurul Amin berkata, pihak kementerian wajar melihat potensi besar penggunaan pelabuhan domestik bagi mempercepat urusan logistik dan pengedaran produk tempatan ke pasaran antarabangsa.
“Jadi, apakah usaha yang telah dibuat oleh pihak kementerian untuk menggalakkan pelabur menggunakan pelabuhan domestik bagi pelaksanaan kilang serta eksport produk ke luar negara?” soal beliau.
Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong, menyatakan kesediaan kementerian untuk mengkaji dan mencadangkan pelbagai bentuk insentif kepada Kementerian Kewangan (MOF) bagi tujuan tersebut.
“Kementerian MITI bersedia untuk mengkaji dan memberikan cadangan kepada MOF untuk memberikan insentif atau pelbagai cara bagi meningkatkan penggunaan pelabuhan-pelabuhan tempatan,” katanya.
Pada soalan asal, Nurul Amin meminta pihak kementerian menyatakan usaha Kerajaan dalam menjalin kerjasama strategik dengan Kerajaan Thailand bagi mempermudah laluan keluar masuk barangan melalui pintu masuk Durian Burung.
Khususnya tanya beliau bagi membolehkan pelabur di Kedah Rubber City (KRC) menggunakan Pelabuhan Songkhla sebagai hab eksport yang lebih efisien. – HARAKAHDAILY 28/7/2024











