Pantau ketat tanah kerajaan dari pencerobohan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Langkah pencegahan dan pemantauan berkala perlu dipertingkatkan oleh kerajaan bagi mengelakkan pencerobohan tanah milik Kerajaan Persekutuan, khususnya di negeri-negeri berisiko tinggi seperti Pulau Pinang.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad (PN–Kepala Batas) membangkitkan isu tersebut dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau merujuk kepada kebimbangan terhadap tanah-tanah yang berada di bawah urus tadbir Kerajaan Persekutuan yang dinyatakannya semakin terdedah kepada pencerobohan.

Menjawab soalan itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan sentiasa mengambil langkah proaktif dalam memastikan tanah milik Persekutuan tidak diceroboh dengan sewenang-wenangnya.

“Antara tindakan yang dilaksanakan termasuklah pemasangan papan tanda larangan, pembinaan pagar, penempatan kawalan keselamatan tertinggi, serta merobohkan struktur yang dibina secara haram,” katanya.

Menurut Johari, bagi kes yang lebih serius, kerajaan juga tidak teragak-agak untuk membawa penceroboh ke mahkamah. Jika disabitkan kesalahan, denda boleh dikenakan sehingga RM500,000.

“Banyak kes melibatkan rumah setinggan dan juga kegiatan komersial seperti gerai makanan serta perkhidmatan mencuci kereta di atas tanah milik kerajaan,” jelas beliau lagi.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil agar tanah milik negara tidak disalahgunakan atau diperdagangkan secara tidak sah. – HARAKAHDAILY 28/7/2025

- Advertisement -