Perkhidmatan feri perlu cekap, kutipan fi pastikan telus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Fi (Feri Pengkalan Kubor) (Pengesahan) 2025 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat diharap dapat berpaksikan kepada keadilan untuk rakyat, kecekapan dalam perkhidmatan serta keselamatan kepada pengguna.

- Advertisement -

Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN–Rantau Panjang) berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan atas inisiatif yang diambil bagi memastikan keperluan rakyat di kawasan berkenaan menerima perkhidmatan lebih baik.

“Saya berharap dengan RUU ini dapat menambahkan lagi kecekapan dari sudut perkhidmatan feri dan sepatutnya perkara ini dilihat lebih awal lagi sebelum ini. Apa yang kita inginkan ialah supaya ketelusan dari sudut kutipan fi itu.

“Supaya tidak ada berlaku salah guna kuasa dan sebagainya. Begitu juga dengan subsidi rakyat yang berpendapatan rendah, sebab kita tahu di antara pengguna utama adalah golongan B40, golongan nelayan dan pelajar-pelajar sekolah,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Negeri Kelantan berkata demikian ketika mengambil bahagian di dalam Perbahasan RUU tersebut di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Tegas beliau, perkara tersebut perlu dilihat secara menyeluruh bagi memastikan golongan terbabit, khususnya para pelajar, dapat diberikan diskaun khas sebagai keistimewaan dari sudut bayaran perkhidmatan feri.

“Saya ingin tahu apakah inisiatif yang telah dibuat oleh pihak kerajaan dalam memastikan perkara ini dapat sama-sama kita lihat untuk kebajikan rakyat yang menggunakan feri ini setiap hari.

“Dari sudut sistem bayaran, apakah cara sistem bayaran yang dibuat untuk mengelakkan sebarang penyelewengan dan memudahkan lagi sistem transaksi?” soalnya.

Dalam pada itu, Zailah mengalu-alukan pembinaan jambatan rentas di antara Sungai Golok dan Tak Bai yang disifatkan sebagai sangat perlu kerana ia menghubungkan dua buah negara, iaitu Malaysia dan Thailand.

“Saya juga ingin menekankan supaya pembangunan zon ekonomi sempadan ini disegerakan sebab kita melihat hasil daripada suasana yang ada di Thailand termasuk juga di Golok, jauh ketinggalan negara kita.

“Jadi saya ingin supaya kerajaan memberikan inisiatif khas termasuk juga pembinaan stesen ECRL yang menyambung antara Malaysia dan Thailand melalui sama ada Pengkalan Kubor dengan Tak Bai ataupun Rantau Panjang dengan Golok.

“Sebab ini sangat penting dalam pembinaan ekonomi sempadan, jadi saya harap perkara ini diberi perhatian untuk menambah baik lagi dari sudut perkhidmatan, pengangkutan negara kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2025

- Advertisement -