Statistik indah tak sama realiti sedang dihadapi rakyat

- Advertisement -

KANGAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis membidas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling yang disifatkan hanya sekadar mempertahankan Kerajaan Persekutuan dengan ‘statistik indah’, namun jauh dari denyut nadi rakyat marhaen.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Haziq Asyraf Dun menegaskan bahawa retorik angka dan peruntukan yang diumumkan tidak memberi makna sekiranya wakil rakyat gagal turun padang dan menyantuni realiti sebenar rakyat.

“Sebagai wakil rakyat, YB Gan seharusnya lebih kerap turun melihat sendiri keadaan rakyat Perlis. Rakyat tidak menilai keprihatinan kerajaan melalui angka di Putrajaya, tetapi melalui kesan langsung kepada kehidupan mereka,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, penurunan harga petrol sebanyak 6 sen yang disambut oleh pembangkang negeri sebagai satu kejayaan besar hanyalah pelarasan biasa mengikut pasaran global dan bukan dasar ekonomi luar biasa.

“Harga barang tetap tinggi, subsidi makin sempit, dan beban cukai terus menghimpit. Jangan jadikan penurunan ini sebagai modal politik murahan,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Haziq turut membangkitkan isu pembinaan semula projek Sekolah Sukan Perlis yang terbengkalai lebih sedekad, sambil mempersoal kegagalan pihak terdahulu menangani kelewatan tersebut.

“Hanya selepas Kerajaan Negeri mendesak dan menuntut komitmen serius, projek ini diaktifkan kembali. Jangan cuba monopoli kredit seolah-olah Kerajaan Persekutuan bertindak tanpa tekanan negeri,” tegas beliau.

Mengulas dakwaan kononnya Kerajaan Negeri lemah dalam pembangunan ekonomi, Pemuda PAS Perlis menyenaraikan beberapa inisiatif yang telah digerakkan termasuk penganjuran Invest Series bersama Northern Corridor Implementation Authority (NCIA).

Juag Malaysian Investment Development Authority (MIDA) yang berjaya menarik lebih 200 pelabur serta mencatat pelaburan berjumlah RM1.8 bilion pada 2024.

Antara insentif yang ditawarkan termasuk pengecualian 100 peratus cukai pendapatan sehingga 15 tahun, elaun cukai pelaburan (ITA) hingga 10 tahun, dan pengecualian duti import serta duti setem.

“Sepatutnya YB maklum akan pelbagai usaha kerajaan negeri, lebih-lebih lagi apabila YB sendiri tidak pernah dipinggirkan daripada pelbagai program rasmi. Adakah pertanyaan tersebut sekadar usaha meraih perhatian sebagai wira rakyat?” ujar Haziq.

Tegas beliau, sebarang bantuan Kerajaan Persekutuan adalah hak rakyat dan bukan hadiah kepada negeri yang tunduk secara politik.

Akhirnya, Pemuda PAS Perlis menyeru pembangkang agar tidak berselindung di sebalik angka, tetapi sebaliknya perlu lebih dekat dengan rakyat dan bersedia membina kerjasama secara matang demi kebaikan bersama.

“Turunlah ke kampung dan ceruk desa. Dengarlah suara nelayan, petani, peniaga kecil dan anak muda. Bukan hanya sekadar petik data kementerian. Kami terbuka untuk kerjasama membina, tetapi bukan dengan nada angkuh, sinis atau memperlekeh usaha anak negeri.

“Kami semua dipilih oleh rakyat. Maka kepada rakyatlah kita mesti kembali berkhidmat,” ujar Haziq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri. – *HARAKAHDAILY 29/7/2/25*

- Advertisement -