RUU Racun bahaya kepada doktor, buka laluan kronisme

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) menyuarakan kebimbangan serius terhadap Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2025 yang menurutnya dibentangkan secara tergesa-gesa tanpa rundingan bersama kumpulan profesional kesihatan.

- Advertisement -

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat, beliau mempersoalkan sikap kerajaan yang dilihat ingin melakukan ‘bulldoze’ (rempuhan) rang undang-undang tersebut tanpa konsultasi awam yang wajar.

“Empat pertubuhan perubatan profesional yang mewakili pakar-pakar klinikal telah mengemukakan memorandum bantahan. Mereka menegaskan penguatkuasaan undang-undang perubatan tidak boleh disamakan dengan siasatan jenayah.

“Doktor bukan penjenayah, mereka adalah pengamal kesihatan,” tegas beliau turut menolak cadangan peluasan kuasa kepada semua pegawai polis sebagai pegawai diberi kuasa, yang menurutnya boleh menjejaskan kerahsiaan pesakit dan mencemar profesionalisme dunia perubatan.

Tambah beliau, Seksyen 31A yang baru turut membuka ruang besar kepada pelantikan politik dan kronisme apabila memberi kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk melantik sesiapa sahaja sebagai pegawai diberi kuasa tanpa sebarang syarat kelayakan atau latihan khusus.

“Di mana prinsip tadbir urus baik dan semak imbang (good governance & check and balance)? Ini membuka ruang penyalahgunaan kuasa terhadap sektor kesihatan awam, swasta, dan NGO kesihatan,” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan takrifan ‘premis’ dalam pindaan tersebut yang dianggap terlalu umum dan boleh menyebabkan penguatkuasaan menekan, termasuk terhadap NGO dan relawan kesihatan dalam menjalankan perkhidmatan di lokasi seperti bazar Ramadan dan klinik bergerak.

Wan Ahmad Fayhsal turut mengaitkan rang undang-undang ini dengan penubuhan entiti Rakan KKM Sdn Bhd, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dikatakan bertujuan untuk membantu menambah dana kesihatan.

“Semalam Menteri Kesihatan sendiri mengaku hutang negara telahpun melepasi siling statutori 65 peratus KDNK. Ini bermakna
tiada ruang lagi untuk penambah belanja awam termasuk dalam sektor kesihatan.

“Orang tanya beliau kenapa tak boleh tambah belanjawan? Doktor-doktor kita, petugas-petugas kesihatan kita sedang merana di hospital-hospital di Sabah, di Sarawak, di seluruh negara,” ujar beliau.

Beliau mendakwa kerajaan kini dilihat menuju ke arah penswastaan penguatkuasaan, dengan kemungkinan pegawai diberi kuasa akan dilantik melalui saluran korporat di bawah entiti tersebut.

“Jadi, saya nak tanya kepada menteri. Adakah rang undang-undang ini sebenarnya untuk membuka jalan kepada penswastaan penguatkuasaan?

“Siapa Rakan KKM ini? Bagaimana mereka ingin menjana pendapatan setara bajet KKM sebanyak RM45 bilion sedangkan KPJ Healthcare yang mengurus 29 hospital hanya memperoleh keuntungan RM407 juta setahun? Adakah kita memperdagangkan kesihatan awam demi keuntungan swasta?” soal beliau.

Beliau juga mempersoalkan kemungkinan barangan perubatan dijual semula dengan harga ‘mark-up’ kepada pesakit, dan kemungkinan kerajaan menyalahgunakan dana pembayar cukai untuk memberi subsidi kepada syarikat swasta.

“Apa ni Madani ni? Kalau ini cara KKM nak kendalikan kesihatan awam,” persoalnya dengan nada tegas.

Sehubungan itu, Wan Ahmad Fayhsal mencadangkan agar RUU ini dikembalikan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan untuk dikaji semula secara menyeluruh, termasuk mendengar pandangan daripada pemegang taruh seperti doktor, NGO, dan Ahli Parlimen.

“Saya rasa ini bil yang separuh masak. Tidak layak untuk diluluskan pada petang ini,” katanya sebelum menamatkan perbahasan.

Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2025 itu kini berada di peringkat perbahasan di Dewan Rakyat dan menerima pelbagai reaksi dari blok kerajaan dan pembangkang. – HARAKAHDAILY 28/7/2025

- Advertisement -