Pindaan Akta Racun perlu jamin hak rakyat dilindungi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Salamiah Mohd Nor (PN–Temerloh) menegaskan bahawa keseluruhan pindaan terhadap akta berkaitan racun dan bahan berbahaya perlu dilihat bukan sahaja sebagai usaha untuk mengukuhkan sistem kawalan, malah sebagai komitmen mewujudkan tadbir urus berintegriti, profesional dan telus.

Menurutnya, pindaan itu juga memperluaskan takrif ‘premis’ dalam konteks penguatkuasaan undang-undang agar tidak lagi terhad kepada bangunan fizikal semata-mata, sebaliknya meliputi kawasan atau tempat lain berkaitan perhimpunan awam atau aktiviti berisiko.

“Takrif baharu ini amat relevan, lebih-lebih lagi dalam era pasca COVID-19 di mana lokasi penyebaran penyakit berjangkit tidak terbatas kepada tempat tertutup sahaja,” ujarnya.

Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada perbahasan Rang Undang-undang Racun Pindaan 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Katanya, peluasan ini akan membolehkan pegawai penguat kuasa mengambil tindakan di tempat awam terbuka seperti khemah tapak binaan, tempat ibadat mahupun kawasan tidak berpagar yang dijadikan lokasi aktiviti melibatkan orang ramai.

Beliau menjelaskan sebelum ini takrif premis mungkin terlalu sempit dan hanya merangkumi tempat perniagaan fizikal berlesen atau premis tetap, menyebabkan wujud kekangan dari sudut undang-undang terhadap aktiviti haram dan tidak konvensional.

“Antaranya termasuk gudang tidak berdaftar, rumah kediaman dan kedai minuman, kenderaan yang diubah suai serta ruang dalam talian dengan stor fizikal tidak berlesen,” jelasnya.

Ulasnya, melalui pindaan itu, penguat kuasa boleh bertindak terhadap mana-mana tempat, struktur atau ruang termasuk yang bersifat sementara atau bergerak selagi digunakan untuk aktiviti dikawal di bawah akta berkenaan.

Beliau turut menyatakan bahawa dalam konteks semasa, penyalahgunaan dan pengedaran racun secara tidak sah semakin canggih, termasuk melalui e-dagang, aplikasi pesanan dan penghantaran segera.

“Oleh itu, pindaan takrif premis amat relevan dengan cabaran realiti lapangan hari ini,” kupasnya.

Namun, beliau menggesa supaya garis panduan penguatkuasaan yang telus dan profesional dirangka, termasuk latihan kepada pegawai penguat kuasa mengenai batas dan prosedur ketika memasuki premis tidak konvensional.

“Perlindungan terhadap hak individu juga penting agar tidak berlaku pencerobohan tanpa asas kukuh. Penguatkuasaan mesti sentiasa berpandukan prinsip kesaksamaan, profesionalisme dan kebertanggungjawaban,” tegasnya.

Ustazah Salamiah turut mencadangkan supaya semua tindakan pegawai di premis direkod dan diaudit bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.

“Pematuhan hak asasi perlu dipastikan agar tiada pencabulan hak peribadi seperti ke atas harta persendirian, melainkan dalam keadaan darurat kesihatan awam,” katanya.

Katanya, kerajaan juga perlu memperkukuh aspek pendidikan awam dan kerjasama komuniti, bukan hanya bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang. – HARAKAHDAILY 28/7/2025

- Advertisement -
- Advertisement -