
KUALA LUMPUR: Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas termasuk mengharamkan penggunaan vape yang dilihat memberi kesan buruk kepada kesihatan masyarakat, khususnya golongan remaja.
Beliau turut mempersoalkan mekanisme kawal selia terhadap ribuan jenis racun yang digunakan dalam negara.
“Saya menyokong usaha kerajaan untuk memperkasakan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan racun dan bahan
berjadual dan kita mengharap dengan akta ini supaya dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
“Kita mengharap dengan akta ini supaya dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan kita mengharapkan supaya ada garis panduan yang jelas tanpa had begitu juga tentang pemantauan dan serta semakan terhadap semua risiko dalam perlaksanaan rang undang-undang ini,” katanya.
Belia berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai mekanisme akan digunakan Kementerian Kesihatan bagi mengawal selia ribuan jenis racun yang kini digunakan dalam masyarakat, sedangkan akta sedia ada hanya menyenaraikan lebih 100 bahan sahaja.
“Saya ingin tahu mekanisme akan digunakan kementerian untuk menangani sebagaimana kita maklum ribuan senarai racun ada dalam penggunaan masyarakat hari ini yang mana disenaraikan dalam akta ini hanya 100 lebih sahaja terutama dalam penggunaan penyalahgunaan nikotin dalam vape dan sebagainya,” katanya.
Siti Zailah juga menyeru kerajaan agar segera mengambil langkah tegas untuk mengharamkan vape yang menurutnya sudah terbukti memberi kesan buruk kepada masyarakat, khususnya golongan remaja.
“Saya juga bersama dengan rakan-rakan yang lain ingin apa menyeru supaya kerajaan segera mengambil tindakan supaya meletakkan pengharaman terhadap vape ini yang sudah semua tahu memberi kesan yang cukup besar kepada masyarakat terutama remaja pada hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2025











