Nikotin racun, tapi kerajaan tagih wang daripadanya?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta merangka mekanisme khusus bagi mengawal penggunaan nikotin kalangan belia selepas mengecualikan bahan terbabit dalam Akta Racun 1952, kata Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus).

- Advertisement -

Beliau berkata, antara alternatifnya ialah kerajaan mengkategorikan semula nikotin dalam senarai racun biarpun kerajaan tetap dengan pendirian langkah tersebut menambah pendapatan menerusi pelaksanaan cukai rokok.

Selain itu katanya lagi, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menetapkan semula kandungan nikotin yang sesuai dalam produk komersial dan tidak memberi kemudaratan kesihatan pengguna.

“Sehingga kini kita belum melihat garis panduan yang jelas berkenaan had atau kepekatan nikotin yang dibenarkan dalam penduduk seperti vape yang membuka ruang produk kepada produk dengan paras nikotin yang tinggi.

“Ia menyebabkan ketagihan lebih pantas kalangan anak muda berbanding rokok, akibat pengeluaran nikotin dari senarai racun, industri vape ini tidak terkawal dan tiada piawaian keselamatan jelas,” katanya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS PAS Terengganu itu pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, hari ini, turut membangkitkan aspek penguatkuasaan akta tersebut.

Beliau berkata, pindaan itu menetapkan maksud pegawai yang diberi kuasa kepada pihak polis dari mana-mana pangkat dan individu yang dilantik oleh Menteri Kesihatan bertujuan memperkukuhkan peguatkuasaan.

Bagaimanapun menurutnya, langkah tersebut perlu diimbangi dengan persoalan kepakaran dan pengetahuan anggota kerana akta yang meliputi lebih 1,780 jenis bahan kimia berbahaya, ubat-ubatan dan dadah terkawal.

“Oleh itu pengetahuan teknikal serta kecekapan saintifik diperlukan untuk mengenal pasti, mengendalikan dan mengambil tindakan ke atas bahan-bahan tersebut, adakah semua pegawai ini ada kelayakan dan latihan.

“Jangan kita hanya memperluaskan kuasa di atas kertas sahaja, tetapi akhirnya membuka ruang penguatkuasaan lemah atau salah guna kuasa akibat kekurangan kefahaman teknikal ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2025

- Advertisement -