Kuasa Menteri terlalu luas dikhuatiri akan disalah guna

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman (PN–Kuala Krai) bimbang terhadap pindaan Fasa Dua Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2025 memberi kuasa penuh kepada Menteri Kesihatan melantik mana-mana individu sebagai pegawai diberi kuasa tanpa semak dan imbang.

- Advertisement -

Menurut beliau, kuasa pelantikan yang terlalu luas tanpa pendedahan awam atau kawalan bebas boleh membuka ruang kepada ketirisan serta konflik kepentingan.

“Kuasa yang diberi ini terlalu besar. Tiada semakan terbuka, tiada syarat khusus. Ini boleh menimbulkan penyalahgunaan kuasa,” katanya ketika membahaskan RUU tersebut di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut merujuk kepada laporan Transparency International di mana meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024, dengan skor 50 daripada 100 – jauh daripada tahap negara-negara bersih, yang memperoleh skor melebihi 80.

“Ini menunjukkan integriti sektor awam kita masih sederhana dan terdedah kepada penyalahgunaan kuasa,” tegas beliau.

Abdul Latiff turut menekankan isu pelaksanaan di lapangan, khususnya membabitkan penyalahgunaan kuasa dalam kes ketum.

“Kuasa pegawai kini lebih luas dan tersusun. Tapi rakyat di kampung sudah merasa perit. Ada petani ditahan hanya kerana menyimpan air ketum untuk kegunaan sendiri. Rumahnya digeledah, anak kecil menangis, maruah keluarga tercalar,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa walaupun penambahan pegawai penguat kuasa seperti polis dan pegawai kesihatan adalah perlu, ia mesti disertakan dengan garis panduan penguatkuasaan yang jelas dan adil.

“Saya bimbang jika kuasa ini disalah guna terhadap orang kampung yang tiada niat jenayah, berbanding penjenayah sebenar. Lebih parah jika ada yang dipergunakan atau diperangkap,” ujarnya.

Beliau mencadangkan agar beberapa penambahbaikan dilakukan terhadap RUU ini, antaranya audit dan pelantikan pegawai didedahkan secara terbuka; konsultasi awam bersama NGO, pengamal perubatan dan farmasi.

Jelas beliau, itu dilakukan sebelum pelantikan pegawai; dan laporan berkala kepada Parlimen berhubung status pelantikan dan pelaksanaan penguatkuasaan.

Katanya lagi, undang-undang bukan sekadar alat kawalan tetapi mesti adil dan juga dilihat adil, kerana jika tidak, ia boleh jadi racun kepada rakyat, bukannya perlindungan. – HARAKAHDAILY 28/7/2025

- Advertisement -