Anak didera dengan kulit durian: Gesa hukuman tegas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia mengecam keras perbuatan tidak berperikemanusiaan melibatkan penderaan ke atas kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun oleh ibu kandung dan bapa tirinya yang sanggup menggunakan kulit durian sebagai alat menyeksa.

- Advertisement -

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyifatkan tindakan itu sebagai zalim dan langsung tidak mencerminkan nilai keibuan mahupun kemanusiaan.

“Apakah nilai kasih sayang sudah hilang dari hati manusia hingga sanggup menghempap tangan anak kecil dengan kulit durian direndam air garam, memiat telinga dan menyakiti amanah Allah SWT sebegitu rupa?

“Ini bukan mendidik, ini kezaliman. PAS menuntut agar hukuman lebih tegas dikenakan terhadap pelaku penderaan kanak-kanak bagi memberi pengajaran kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ustazah Nuridah berkata, PAS sentiasa menekankan konsep tarbiah dan ihsan dalam mendidik anak, berlandaskan ajaran Islam yang menganjurkan kasih sayang dan kelembutan.

“Nabi SAW bersabda, “Bukan daripada kalangan kami orang yang tidak menyayangi anak kecil dan tidak menghormati orang tua”. Ini peringatan jelas agar anak-anak tidak dizalimi,” katanya.

Beliau turut menyeru ibu bapa agar menjadikan agama sebagai panduan dalam mendidik anak-anak serta tidak menjadikan tekanan hidup sebagai alasan bertindak di luar batas kemanusiaan.

Dalam pada itu, pihaknya turut menggesa pihak berkuasa memperketatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang agar keselamatan serta hak kanak-kanak lebih terjamin.

“PAS komited mempertahankan hak kanak-kanak dan mendesak agar sebarang bentuk penderaan ditangani dengan serius, termasuk memperkukuh institusi kekeluargaan berteraskan nilai Islam,” katanya lagi.

Terdahulu, pasangan suami isteri itu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 24 Julai lalu atas tuduhan mendera anak perempuan mereka menggunakan kulit durian.

Susulan pengakuan itu, Hakim Mohd Zaki Mohd Salleh menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap lelaki berusia 42 tahun yang juga bapa tiri mangsa, manakala isterinya berusia 32 tahun didenda RM18,000 atau penjara tiga bulan.

Kedua-duanya turut dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun tanpa cagaran serta diarahkan menjalani khidmat masyarakat selama 12 bulan. – HARAKAHDAILY 28/7/2025

- Advertisement -