Gesa siasat telus kes kematian pelajar di Sabah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden menggesa siasatan terperinci dan telus dijalankan berhubung kematian tragik seorang pelajar, Zara Qairina Mahathir di sebuah sekolah menengah kebangsaan agama di Papar, Sabah pada 17 Julai lalu.

- Advertisement -

Menurut beliau, kematian pelajar berusia 13 tahun itu mengundang kesedihan dan keresahan ramai, terutamanya selepas pendedahan oleh seorang pengguna Facebook dipercayai ahli keluarga mangsa, yang menceritakan secara panjang lebar detik-detik menyayat hati mengenai kejadian itu.

“Kami amat sebak membaca catatan tersebut. Arwah seusia dengan anak-anak kami. Bagi pihak Perikatan Nasional kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah Adik Zara Qairina. Ini insiden penuh tragis menyayat hati dan menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kenapa? Kerana terlalu banyak yang didedahkan di dalam tulisan Facebook ini dan sehingga hari ini belum ada kenyataan yang serius daripada pihak KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) dan juga daripada pihak Kementerian Dalam Negeri khususnya PDRM (Polis Diraja Malaysia) terhadap isu yang serius ini.

“Sepatutnya isu yang melibatkan keselamatan, kesejahteraan dan nyawa seorang pelajar yang masih muda 13 tahun sepatutnya dilindungi sepenuhnya di bawah tanggungjawab pihak sekolah serta KPM tidak boleh menganggap kes ini seperti kes-kes biasa.

“Kerana ia melibatkan kematian dalam kawasan sekolah dan pelajar itu adalah pelajar asrama. Ada warden yang menjaga, ada guru yang mengurus,” katanya pada satu sidang media turut dihadiri Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari di Lobi Parlimen, hari ini.

Afnan turut menyuarakan kebimbangan mengenai dakwaan kemungkinan wujud campur tangan pihak tertentu dalam siasatan kes berkenaan, termasuk laporan kononnya terdapat pelajar yang dipindahkan ke sekolah lain walaupun siasatan masih berjalan.

“Pihak yang bersangkutan dengan arwah adik ini bimbang wujud campur tangan pihak tertentu kerana dakwaan-dakwaan yang dibuat berdasarkan apa yang kami baca ini terdapat campur tangan pihak tertentu kerana kononnya pihak yang terlibat ini ada kaitan dengan orang-orang kenamaan tertentu.

“Saya tidak ada maklumat tentang itu tapi itu yang ditulis dan yang lebih menimbulkan kesangsian ialah ada untuk memindahkan sekumpulan pelajar yang bersekolah di situ ke sekolah lain. Dalam keadaan kes ini masih lagi belum di disiasat sepenuhnya.

“Jadi sepatutnya kalaulah pelajar yang dipindahkan itu ada kaitan dengan kes ini, dia tidak boleh dipindahkan sekolah sewenang-wenangnya macam satu usaha untuk menutup kes ini. Itu tak patut berlaku dan kalau ini berlaku, ia akan menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan.

“Khususnya terhadap pihak sekolah dan terhadap pihak kementerian sendiri,” katanya turut mengemukakan enam gesaan utama kepada pihak berwajib antaranya siasatan polis mesti dijalankan tanpa sebarang tekanan atau pengaruh daripada mana-mana pihak.

KPM gesanya perlu menyekat sebarang permohonan pertukaran sekolah pelajar yang disyaki terlibat sehingga siasatan selesai, malah, pelajar yang dikenal pasti sebagai suspek perlu digantung persekolahan sementara waktu.

Beliau menggesa audit keselamatan sekolah asrama penuh memeriksa secara menyeluruh termasuk pemasangan CCTV di lokasi berisiko tinggi di sekolah asrama perlu dilaksanakan bagi mencegah kejadian buli atau jenayah berulang.

Katanya, langkah drastik perlu diambil untuk menghapuskan budaya buli, penganiayaan dan ketakutan terhadap senior di kalangan pelajar asrama.

“Sekiranya didapati pihak sekolah cuba menyembunyikan maklumat atau menghalang waris daripada membuat laporan polis, tindakan sewajarnya harus dikenakan terhadap pentadbir sekolah,” katanya.

Beliau juga menggesa KPM mewujudkan sistem aduan dalam talian yang telus dan melibatkan pemantauan terus oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan KPM bagi mengelakkan maklumat hanya terhenti di peringkat sekolah.

Afnan berkata, isu ini bukan isu politik, tetapi melibatkan keselamatan dan keadilan buat pelajar yang meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan.

“Adik Zara ini walaupun dia anak kepada mak dan ayah dia, tapi dia anak kepada kita semua yang kita perlu bela kita perlu pertahankan.

“Hentikan buli berikan usaha yang serius untuk menangani isu ini dan siasat semua pihak tanpa ada tekanan daripada mana-mana pihak bawa ke muka pengadilan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 28/8/2025

- Advertisement -