Sisa toksik, bahan kimia berbahaya perlu ditangani

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar perlu bekerjasama dan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani masalah kemasukan sisa toksik dan bahan kimia berbahaya ke dalam negara ini.

- Advertisement -

Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah (PN–Langkawi) berkata, pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Racun (Pindaan) 2025 dilihat memperkasa penguatkuasaan, namun ia masih mengabaikan aspek kelemahan pengawalseliaan import bahan tersebut.

“Laporan-laporan terdahulu termasuk audit Jabatan Alam Sekitar dan siasatan media menunjukkan kelemahan dalam pemantauan kontena berisi sisa toksik yang bahan kimia berbahaya yang masuk ke Malaysia.

“Atas nama bahan kitar semula, terutamanya selepas larangan China terhadap import plastik sisa pada 2018,” katanya ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah beliau, RUU itu juga tidak mengandungi peruntukan yang mewajibkan laporan tahunan kepada Parlimen atau orang awam berhubung aktiviti penguatkuasaan, statistik rampasan atau status siasatan kes racun.

“Dalam era ketelusan dan akauntabiliti penggubalan undang-undang sebegini, perlu disertakan dengan mekanisme audit dan laporan yang boleh dipantau oleh masyarakat sivil,” ujarnya.

Justeru, beliau mencadangkan agar diberikan peruntukan khas mengenai kelayakan minimum, latihan berkala dan mekanisme semakan ke atas pelantikan pegawai yang diberikan kuasa (authorised officer).

“Tambahkan klausa dalam akta ini berkaitan dengan penapisan dan larangan import bahan kimia atau racun yang telah dilarang di negara asalnya. Sediakan portal yang membolehkan pengguna petani.

“Dan industri mengenai senarai racun yang diluluskan yang dilarang serta lokasi-lokasi. PEMADAM (Persatuan Mencegah Dadah Malaysia) menolak vape sebagai salah satu bahan yang dijual di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2025

- Advertisement -