RUU pindaan Akta Racun perlu jelas, elak kekeliruan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2025 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini perlu diperhalusi secara menyeluruh bagi mengelakkan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan pihak berkepentingan terutama dalam sektor kesihatan.

- Advertisement -

Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkata, pindaan tersebut yang melibatkan Akta Racun 1952 perlu memberi tumpuan jelas kepada Seksyen 2 Akta 366 berkaitan takrifan ‘pegawai yang diberi kuasa’ serta peluasan takrifan premis terlibat.

Jelasnya, pindaan tersebut bertujuan untuk memasukkan pegawai polis daripada apa-apa pangkat dan individu yang dilantik oleh Menteri Kesihatan di bawah Seksyen 31A sebagai ‘pegawai yang diberi kuasa’.

“Buat masa ini, penguatkuasaan di lapangan memang dilaksanakan oleh pegawai polis berpangkat rendah menggunakan kuasa di bawah Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

“Namun, penguatkuasaan di bawah Akta 366 ini hanya tertakluk kepada pegawai kanan polis berpangkat Inspektor dan ke atas, yang sekali gus menghadkan pelaksanaan tugas di lapangan,” katanya ketika membahaskan RUU tersebut, hari ini.

Menurut beliau, cadangan pindaan yang membenarkan penglibatan pegawai berpangkat lebih rendah seperti Sarjan sebagaimana dicadangkan oleh Pejabat Peguam Negara adalah wajar dipertimbangkan bagi memantapkan lagi kecekapan penguatkuasaan.

“Saya kira kerajaan harus melihat latihan dan program khusus yang sesuai bagi melaksanakan penguatkuasaan ini dengan berkesan. Respons daripada pihak kerajaan terhadap cadangan Pejabat Peguam Negara juga perlu diambil kira,” ujar beliau.

Dalam perbahasan tersebut, Dr Ahmad Yunus turut menyentuh kebimbangan berhubung cadangan memberikan kuasa tangkapan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pelaksanaan penguatkuasaan berkaitan racun dan bahan psikotropik.

“Bagaimanakah Kementerian Kesihatan akan mengambil kira peranan ATM dalam penguatkuasaan ini? Adakah sesuai untuk tugas sebegini diserahkan kepada tentera?” soalnya.

Beliau juga mempersoalkan keperluan melibatkan polis dalam penguatkuasaan di premis-premis kesihatan termasuk hospital dan klinik swasta, memandangkan kementerian sendiri sudah memiliki penguat kuasa dalaman seperti dari Bahagian Kawalan Amalan Perubatan Swasta (SUKAT).

“Saya berpandangan, ia boleh mencetuskan persepsi yang berbeza kepada masyarakat awam sekiranya kehadiran polis terlalu dominan dalam premis kesihatan,” katanya.

Dr Ahmad Yunus juga menyuarakan kebimbangan terhadap statistik rampasan bahan terlarang yang semakin meningkat, sekali gus menunjukkan cabaran serius dalam penguatkuasaan.

“Kalau kita lihat, rampasan daun ketum sahaja melebihi 30 juta kilogram pada tahun 2024. Pil-pil psikotropik pula menghampiri 20 ribu kilogram. Ini jumlah yang sangat besar,” ujarnya.

Jelasnya lagi, dengan kuasa-kuasa baharu yang diperuntukkan melalui pindaan akta ini, kawalan terhadap racun dan bahan psikotropik mestilah dilaksanakan secara cekap dan berkesan.

Justeru ujarnya, setiap dasar dan pindaan yang dibuat oleh kerajaan termasuk berkaitan Akta Racun perlu dirangka dengan melibatkan semua pihak yang berkepentingan, termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pengamal perubatan.

“Kita telah dengar respons daripada Persatuan Perubatan Malaysia dan NGO yang menyatakan mereka tidak mendapat maklumat mencukupi mengenai pindaan ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 28/7/2025

- Advertisement -