Perlu wujud Pelan Pembangunan Sempadan Nasional

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN–Machang) menyatakan sokongan terhadap Rang Undang-Undang Fi (Feri Pengkalan Kubor) (Pengesahan) 2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Dalam perbahasannya, beliau menggesa supaya kawasan sempadan seperti Pengkalan Kubor dimajukan secara strategik sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand.

“Rang undang-undang ini bukan sekadar berkaitan fi, tetapi memberikan legitimasi kepada tindakan pentadbiran yang telah lama membantu melicinkan mobiliti rakyat di sempadan dan hubungan dua hala,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang tersebut di Dewan Rakyat.

Beliau turut menegaskan kepentingan prinsip ‘salus populi suprema lex’ atau kebajikan rakyat sebagai undang-undang tertinggi.

“Pembangunan kawasan sempadan seperti Pengkalan Kubor tidak boleh dinilai dari aspek perkhidmatan feri sahaja. Ia perlu menjadi pemangkin kepada ekosistem ekonomi rentas sempadan yang mampan,” ujarnya.

Wan Fayhsal turut memetik titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang menekankan keperluan pembangunan infrastruktur dan ekonomi di kawasan sempadan seperti Tumpat dan kawasan jajahan berhampiran.

“Titah baginda membawa harapan agar Kelantan tidak lagi hanya menjadi wilayah transit, tetapi gerbang perdagangan serantau serta pusat pelaburan halal dan logistik,” katanya lagi.

Beliau turut berkongsi bahawa Almarhum Tun Daim Zainuddin pernah mengutarakan visi menjadikan Kelantan sebagai penghubung strategik antara Malaysia dan negara-negara Indo-China.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa negeri-negeri di bawah kerjasama SG4 – Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis – mempunyai potensi besar sebagai pemacu ekonomi baharu, lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Belt and Road (BRI).

“Pembangunan seperti ini tidak harus terhenti pada kelulusan fi sahaja. Ia perlu dimanfaatkan bagi membuka akses ekonomi lebih luas,” ujarnya.

Wan Fayhsal turut berkata, projek seperti Taman Perindustrian IBS di Labok, Machang, yang telah diluluskan dalam RMK-12, wajar diperkukuh sebagai hab logistik strategik.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Persekutuan merangka Pelan Pembangunan Sempadan Nasional secara menyeluruh, termasuk penubuhan zon ekonomi khas rentas sempadan di Pengkalan Kubor yang menawarkan insentif pelaburan dan cukai.

“Yang penting bukan siapa memerintah, tetapi keikhlasan dan kesungguhan menjayakan pembangunan strategik demi rakyat. Yang menang mestilah rakyat Kelantan, Kedah, Terengganu, Perlis dan seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau turut menyatakan komitmen blok pembangkang untuk terus terlibat secara konstruktif dalam sesi-sesi perbahasan akan datang termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). – HARAKAHDAILY 28/7/2025

- Advertisement -