Feri Pgkln Kubor: Perlu perhatian serius kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) menegaskan isu feri di Pengkalan Kubor bukan semata-mata berkenaan kenaikan tambang 10 sen, sebaliknya melibatkan soal akauntabiliti dan kepentingan rakyat yang terkesan dengan kelemahan perancangan jangka panjang.

“Tambang yang dinaikkan dan nak disahkan ini membabitkan jumlah 10 sen sahaja. Tapi bukan 10 sen ataupun 40 sen yang menjadi isu, kita melihat dari segi akauntabiliti.

“Kita berharap perkara seperti ini tidak berulang kerana walaupun nampak kecil, ia telah menelan kutipan melebihi RM1 juta dalam tempoh lebih 20 tahun,” ujarnya.

Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada perbahasan Rang Undang-undang Fi (Feri Pengkalan Kubor)(Pengesahan) 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata sebarang pindaan atau pengesahan itu, ia tidak wajar dijadikan prosedur tetap (SOP) pada masa depan, khususnya dalam isu pengangkutan awam yang membabitkan rakyat.

“Feri yang kita bincangkan di sini ialah feri di Pengkalan Kubor. Soalnya, kenapa ada feri di Pengkalan Kubor? Sungai Pengkalan Kubor-Tak Bai luasnya hanya 400 meter, namun telah guna feri sejak 70 tahun lepas,” soalnya.

Menurut beliau, meskipun perjalanan feri hanya lima hingga 10 minit, proses menaiki dan menurun feri mengambil masa setengah jam.

“Jumlah penyelenggaraan pula RM1.6 juta setahun, kadang-kadang jauh melebihi kutipan. Jadi, isunya ialah kepentingan rakyat. Adakah ini menyambungkan antara Kelantan dan Thailand atau Malaysia dengan Thailand?” soalnya lagi.

Mumtaz turut mengaitkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN yang sepatutnya memperkukuh hubungan dua hala, termasuk melalui infrastruktur di sempadan.

“Feri di Pengkalan Kubor ini merupakan satu-satunya feri di sungai paling hujung Semenanjung Malaysia. Kalau di Johor ada Tambak Johor, di Sungai Golok ada Jambatan Rantau Panjang. Di Pengkalan Kubor, langsung tiada jambatan. Satu-satunya pilihan hanyalah feri,” dedahnya.

Katanya, feri lama digunakan selama 34 tahun sebelum diganti dengan feri baharu berteknologi moden, namun tetap berdepan kelewatan operasi akibat keperluan semakan ‘defect’ dan pemeriksaan berkala.

“Selepas ‘defect’ ini, siapa yang akan menanggung kos?  Kerana kita tahu bahawa orang yang akan menyelenggara ini datang daripada Ipoh, Perak. Ianya akan makan masa dan saya kira ini bukan perkara yang solusi terakhir kepada warga Pengkalan Kubor dan juga warga Tumpat dan juga orang Malaysia,” jelasnya.

Beliau turut mempersoalkan kenapa pengurusan feri masih di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR), bukan Kementerian Pengangkutan (MOT).

Dalam pada itu, beliau membangkitkan status pembinaan jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai yang dijanjikan Perdana Menteri ketujuh dan kesembilan serta dinyatakan dalam Belanjawan Madani 2025.

“Kajian awal jambatan sepanjang 5.5 kilometer sudah siap dan dalam pengetahuan JKR. Satu setengah kilometer di Malaysia, empat kilometer di Thailand,” dedahnya lagi.

Katanya, kelemahan sistem feri memberi kesan kepada zon bebas cukai yang menempatkan 150 lot kedai, membabitkan 390 keluarga peniaga dan pekerja.

“Sebelum COVID-19, pendapatan antara RM100,000 hingga RM500,000 setahun. Sekarang hanya RM50,000 hingga RM200,000 maksimum,” katanya.

Beliau turut mempertikai kenapa projek infrastruktur seperti LPT3 dan ECRL tidak diteruskan sehingga ke kawasan sempadan.

“Hari ini, sekali lagi ia berhenti di Kota Bharu. Kenapakah kawasan ini menjadi kawasan yang diabaikan dan ditinggalkan?” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2025

- Advertisement -
- Advertisement -