
KOTA BHARU: Penubuhan unit integriti di semua agensi awam negeri menjadi antara langkah utama kerajaan Kelantan dalam memastikan urus tadbir yang telus dan bebas daripada rasuah.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, langkah tersebut selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013 bagi menjamin ketelusan dalam pentadbiran kerajaan.
“Kerajaan negeri juga sedang mengambil langkah menubuhkan unit integriti di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kelantan. Langkah ini penting bagi melahirkan budaya kerja beretika, mencegah rasuah serta memperkukuh tadbir urus dalam organisasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan perkara itu pada Persidangan Kali Yang Kedua Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2025, semalam.
Beliau berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola Peringkat Nasional Siri 04 Bilangan 1 dan telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 5 Februari 2025.
Mohamed Fadzli turut memaklumkan bahawa Pelan Anti Rasuah Kelantan (KACP) 2020–2024 telah dibangunkan bagi menyokong Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019–2023.
“Pelan ini dirangka untuk membudayakan nilai integriti dalam penyampaian perkhidmatan berdasarkan konsep Ubudiyyah, Mas’uliyah dan Itqan (UMI),” ujarnya.
Katanya, semua pejabat tanah dan jajahan serta 12 PBT diarah membangunkan Pelan Anti Rasuah Organisasi masing-masing dan pelan itu telah siap serta dilancarkan pada November 2024 sempena Hari Integriti Negeri Kelantan.
“Kerajaan negeri kini dalam proses memperluas pelaksanaan pelan tersebut kepada syarikat milik kerajaan (GLC) negeri,” jelasnya.
Antara GLC terlibat ialah Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN), Yayasan Islam Kelantan (YIK), Perbandaran Bandar Baru Tunjong, Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
Menurut beliau, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri turut membangunkan tiga dasar utama berkaitan integriti iaitu Polisi Anti Rasuah, Polisi Pemberi Maklumat (Whistleblower) dan Polisi Hadiah.
Katanya lagi, Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU) juga secara berterusan menganjurkan kursus dan ceramah integriti kepada penjawat awam. – HARAKAHDAILY 23/7/2025











