
KUALA LUMPUR: Ustazah Nuridah Mohd Salleh menzahirkan rasa sedih dan bimbang susulan tragedi kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah.
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia itu berkata, kejadian yang dipercayai berpunca daripada insiden buli itu bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi pendidikan, malah menimbulkan keraguan terhadap tahap keselamatan pelajar di asrama.
“Saya menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Sabah dan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang menjalankan siasatan menyeluruh serta memberi sokongan psikososial kepada keluarga mangsa.
“Namun, siasatan tidak seharusnya terbatas kepada punca rasmi sahaja. Agenda buli mesti disiasat secara tuntas dan sekiranya terbukti, pelaku perlu dihadapkan ke muka pengadilan dengan hukuman yang setimpal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, dasar anti-buli di sekolah perlu diperketatkan dengan hukuman lebih tegas, seperti dicadangkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), selain pelaksanaan pendekatan holistik melibatkan kerjasama sekolah dan keluarga.
Antara cadangan beliau termasuk mempertingkat pengawasan di asrama, menyediakan saluran aduan yang berkesan, kaunseling berterusan serta program pendidikan yang menanamkan nilai empati dan kebersamaan dalam kalangan pelajar.
“Kes ini mengingatkan kita bahawa sekolah sepatutnya menjadi benteng perlindungan buat anak-anak, bukannya medan penderaan. Kita semua – ibu bapa, guru, pelajar, masyarakat dan pihak berkuasa – harus lebih peka serta berani bertindak dalam membanteras budaya buli yang semakin membarah,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai kejadian melibatkan pelajar tingkatan satu, Zara Qairina, yang terjatuh dari bangunan sekolah pada Rabu lalu dan disahkan meninggal dunia malam Khamis (17 Julai) ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).
Kejadian itu turut dikaitkan dengan dakwaan berlaku insiden buli di sekolah terbabit.
Ustazah Nuridah turut mendoakan agar Allah SWT merahmati roh Allahyarhamah Zara serta memberikan ketabahan kepada keluarganya, selain berharap tragedi ini menjadi pemangkin kepada perubahan sistem pendidikan negara. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











