
KUALA LUMPUR: Masyarakat semakin terdedah kepada budaya songsang apabila hubungan yang jelas haram seperti zina, ‘couple’ bebas dan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) bukan sahaja diterima, malah diraikan secara terbuka oleh media dan selebriti.
Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, Dr Rosni Adam berkata, perubahan norma ini berlaku akibat pengaruh budaya Barat yang liberal serta lemahnya pegangan agama dalam masyarakat.
“Suasana hari ini seolah-olah sedang menghidangkan suatu kehidupan yang hanya memikirkan kesukaan, nafsu dan tingkah laku tanpa batasan.
“Apabila agama diketepikan daripada pendidikan, hiburan dan dasar negara, maka manusia akan mula melihat haram dan halal berdasarkan perasaan dan populariti dan bukan lagi berdasarkan neraca agama iaitu dosa dan pahala.
“Media massa dan sosial memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi masyarakat, sehingga perkara maksiat dilihat sebagai ‘pilihan peribadi’ dan bukan lagi dosa yang perlu dihindari dan dicegah,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, tadi.
Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Hadid ayat ke-20 yang menggambarkan kehidupan dunia sebagai permainan dan hiburan melalaikan serta memperingatkan umat Islam agar tidak terpedaya dengan kesenangan sementara.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa setiap ‘like’, ‘share’ dan komen terhadap kandungan maksiat turut menyumbang kepada penyebarannya.
“Ramai tak sedar bahawa algoritma media sosial akan menaikkan kandungan yang mendapat banyak interaksi,” katanya.
Justeru, beliau menyeru pengguna, termasuk pempengaruh, agar menunaikan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar dalam ruang digital dan bukan hanya di lapangan.
Beliau turut menyifatkan krisis jati diri sebagai punca ramai anak muda lebih takut digelar kolot berbanding takutkan kemurkaan Allah SWT apabila menolak zina dan LGBT.
“Ini adalah hasil krisis jati diri umat Islam. Zaman teknologi di hujung jari ini, anak-anak dibesarkan dalam sistem yang lebih menekankan kejayaan dunia, kemasyhuran dan penerimaan sosial berbanding ketakwaan dan kehambaan kepada Allah SWT.
“Islam bukan agama yang ketinggalan zaman, tetapi Islam adalah rahmat dan petunjuk sepanjang zaman.
“Justeru perlu ada tindakan untuk mendidik masyarakat agar celik literasi kepada media Islamik yang berasaskan kepada keimanan kepada Allah SWT. Jangan biarkan masyarakat dididik oleh pempengaruh yang tidak mengenal Allah SWT,” katanya.
Oleh demikian, beliau menegaskan bahawa semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik, pemimpin dan pendakwah perlu memainkan peranan sebagai benteng terakhir umat daripada keruntuhan moral.
“Kita tidak boleh menyerahkan sepenuhnya urusan mendidik kepada sistem sekolah atau internet. Oleh demikian, semua pemegang taruh perlu peka dengan setiap perkembangan di media sosial dan ada kemahiran asas berinteraksi di media sosial.
“Pemimpin dan pendakwah perlu turun padang dan menyampaikan dakwah dengan hikmah,” katanya.
Tambah beliau, jika budaya maksiat terus dinormalisasi atas nama kebebasan, maka akan lahir ialah generasi yang tidak kenal dosa dan tidak tahu erti tanggungjawab moral.
“Hari ini mereka minta kebebasan untuk buat maksiat, tidak mustahil satu hari nanti mereka akan menuntut agar kerja-kerja mencegah kemungkaran dihalang daripada dilaksanakan.
“Akhirnya mereka yang mempertahankan agama akan dilihat sebagai pihak yang salah. Kebebasan tanpa batas akan merosakkan umat, sebagaimana sejarah membuktikan kejatuhan banyak tamadun disebabkan keruntuhan akhlak.
“Maka kita sebagai umat Islam, mesti bangkit mempertahankan Islam dengan ilmu, hujah dan kasih sayang,” katanya.
Justeru, beliau menggesa agar semua pihak termasuk kerajaan agar kembali kepada penyelesaian berasaskan wahyu dan menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai asas pembangunan masyarakat.
“Kerajaan perlu melaksanakan agenda Madani yang terangkum di dalamnya enam teras.
“Selain kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat dan keyakinan, teras keenam iaitu ‘ihsan’ harus menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai landasan penyelesaian kepada setiap persoalan.
“Begitu juga berkaitan salah Pelan Transformasi Al-Falah yang menekankan ‘Kemuliaan Syariah’ harus menjadi punca kuasa yang ampuh bagi menangani segala gejala yang berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











