
KUALA LUMPUR: Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) mencadangkan supaya pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 diperluaskan melibatkan pemilik perniagaan serta individu yang memelihara haiwan.
Menurut beliau, meskipun kesalahan dilakukan oleh pekerja, pemilik atau pengarah syarikat perlu bertanggungjawab dalam memastikan operasi perniagaan dijalankan secara beretika dan tidak menjejaskan kebersihan persekitaran.
“Misalnya, pertama perniagaan yang dilakukan dengan sambil lewa dengan membuang sisa makanan ke dalam longkang ataupun membiarkan titisan air ikan menitik di sepanjang jalan menyebabkan pencemaran bau dan ancaman haiwan perosak di sekitar.
“Biarpun kesalahan tersebut dilakukan oleh pekerja namun menjadi tanggungjawab pemilik perniagaan ataupun pengarah memastikan proses dan etika kerja yang dilakukan yang dilaksanakan,” katanya ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mastura berkata, perkara itu dilihat sejajar dengan pendekatan mendidik seperti yang dilaksanakan di beberapa negara antaranya New Zealand, Hong Kong dan Kanada.
“Perintah ini diperkenalkan sebagai satu denda tambahan dilihat untuk mendidik para pesalah dan bakal diperkenalkan dan dikuatkuasakan menerusi pindaan Akta 133 dengan memasukkan subseksyen 47(1A) hingga 47(1H),” katanya.
Beliau turut menggesa agar tindakan sama diambil terhadap pemilik haiwan peliharaan dan ternakan yang gagal menguruskan najis haiwan mereka sehingga mencemarkan kawasan awam.
“Saya juga ingin tahu adakah pemilik haiwan belaan dan ternakan turut termasuk sebagai yang boleh dikenakan denda dan Perintah Khidmat Masyarakat ini?
“Ia mengambil kira pemilik haiwan yang memberikan haiwan di bawah jagaan mereka membuang najis di tempat awam dan tidak mengambil tanggungjawab membersihkan semula tempat tersebut.
“Selain itu, bagaimana pula dengan najis khinzir yang dibuang ke dalam sungai yang kemudiannya mengalir ke kawasan parit di kawasan kampung ataupun perumahan awam yang saliran air ke kawasan pertanian?
“(Ini) seperti yang berlaku di parlimen Kepala Batas yang acap kali saya sebutkan dalam perbahasan?” soalnya. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











