Harga getah: Perlu tambah bantuan pekebun kecil

Azahari Hasan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kapten Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) menggesa kerajaan mempertingkatkan usaha membantu pekebun kecil dan penoreh getah yang terkesan akibat kejatuhan harga getah dan peningkatan kos sara hidup.

- Advertisement -

Dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, beliau meminta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, menyatakan bentuk bantuan yang disediakan melalui RISDA atau agensi berkaitan kepada pekebun kecil khususnya di kawasan Parlimen Padang Rengas.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri, Datuk Rubiah Wang memaklumkan bahawa pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk insentif pengeluaran getah dan geran peningkatan produktiviti.

“Bagi tahun 2025 RISDA telah memperkenalkan program peningkatan produktiviti getah yg merangkumi 3 komponen utama iaitu program produktiviti getah (ProGet) bagi meningkatkan hasil pengeluaran daripada pokok getah matang.

“Yang kedua program produktiviti lateks (ProTexs) untuk merangsangkan pengeluaran hasil lateks negara. Dan yang ketiga geran Padanan yang bertujuan menambah kapasiti pengeluaran lateks secara nasional,” ujar beliau.

Menurut beliau, sebanyak RM118.9 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program ini, melibatkan kawasan seluas 28,400 hektar dan dijangka memberi manfaat kepada 20,000 pekebun kecil di seluruh negara.

“Di Negeri Perak peruntukan berjumlah RM12.9 juta melibatkan keluasan 3500 hektar dan memberi manafaat kepada 2300 orang perkebun kecil.

“Manakala bagi parlimen Padang Rengas sebanyak RM65000 diperuntukkan bagi kawasan seulas 26 hektar yang akan memberi manafaat kepada 17 orang pekebun kecil,” katanya.

Rubiah turut memaklumkan bahawa bantuan keusahawanan dan agro makanan turut disediakan bagi membantu pekebun kecil menjana pendapatan tambahan secara mampan.

Dalam soalan tambahan, Kapten Azahari mencadangkan supaya kadar Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) ditambah serta tempoh bantuan dilanjutkan memandangkan musim tengkujuh kini lebih panjang akibat perubahan iklim.

Beliau turut memohon penjelasan mengenai perancangan Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Perkebun Kecil dan Perusahan Getah (RISDA) dalam menyediakan program latihan, bantuan penanaman semula serta insentif penggunaan teknologi moden kepada pekebun kecil di kawasannya dan seluruh negara.

“Apakah perancangan RISDA atau Lembaga Getah Malaysia dalam menyediakan program latihan, bantuan penanaman semula dan insentif penggunaan teknologi moden kepada pekebun kecil di kawasan ini.” soal beliau.

Menjawab soalan itu, Rubiah berkata, kerajaan melalui RISDA komited dalam membantu pekebun kecil dan penoreh getah, termasuk di Padang Rengas.

“Pelbagai inisiatif termasuk bantuan musim tengkujuh yang diwujudkan bagi meringankan beban kewangan golongan ini apabila aktiviti
menoreh tidak dapat dijalankan semasa musim hujan dan juga mereka yang kehilangan sumber pendapatan.”

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM264 juta bagi BMT tahun 2024, yang memberi manfaat kepada 324,000 pekebun kecil dan 6,000 penoreh getah.

“Di Padang Rengas sahaja, seramai 862 penerima telah menerima RM690,000. Permohonan bagi BMT 2025 dibuka mulai 1 Jun hingga 30 September melalui portal dalam talian Pekebun Kecil RISDA,” katanya.

Tambahnya, kajian semakan semula kadar bantuan sedang dijalankan bagi memastikan bantuan kekal relevan dengan kemampuan fiskal negara.

Beliau turut menjelaskan bahawa RISDA kini giat menyediakan program latihan, penanaman semula, pemberian baja serta bantuan teknologi moden menerusi program seperti Prospeks dan Geran Padanan.

“Pemberian geran RM10,000 kepada pengurusan depoh lateks dan pengenalan kepada teknologi baharu dibawah Program Prospect.

“Geran Padanan sebanyak RM60 juta disediakan iaitu RM30 juta daripada Kementerian Kewangan dan RM30 juta dari sumber dalaman RISDA, bagi memulihkan kebun getah terbiar dan menyediakan alat torehan serta alat penyukatan lateks,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 22/7/2025

- Advertisement -