Perluas khidmat masyarakat, libat pemimpin setempat

Shaharizukirnain Abd Kadir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 yang memperkenalkan hukuman khidmat masyarakat ke atas pesalah kebersihan jalan, longkang dan tempat awam.

- Advertisement -

Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berkata, ia perlu dilaksanakan dengan lebih menyeluruh serta berpaksikan keadilan, khususnya di kawasan luar bandar, ketika membahaskan RUU tersebut di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menekankan perlunya pelaksanaan undang-undang ini diberi perhatian yang serius di luar bandar memandangkan kekangan tenaga penguat kuasa dan logistik.

“Umum mengetahui RUU ini bukan sahaja menaikkan kadar denda daripada RM500 kepada RM2,000. Malah ia juga memberi kebenaran untuk mahkamah menjalankan hukuman khidmat masyarakat sehingga 12 jam dalam tempoh enam bulan.

“(Iaitu) ke atas pesalah yang membuang sampah, membina halangan atau mengotorkan kemudahan awam. Saya yakin di kawasan bandar seperti Subang Jaya, undang-undang ini boleh dikuatkuasakan dengan baik dengan syarat pihak berkuasa benar-benar menjalankan tugasnya.

“Namun bagaimana dengan penguatkuasaan di kawasan luar bandar, contohnya di Setiu?” soalnya.

Tambah beliau, Seksyen 47(1) menyatakan seorang penyelia khidmat masyarakat boleh ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), namun tidak menyatakan secara khusus siapa yang layak menjadi penyelia.

“Saya mencadangkan agar Pengerusi JPKK atau Imam Kariah dilantik secara rasmi oleh PBT sebagai penyelia pelaksanaan khidmat masyarakat ini. Penglibatan pemimpin tempatan akan memperkukuhkan pelaksanaan undang-undang di kawasan luar bandar.

“Setiu berdepan kekurangan penguat kuasa dan capaian PBT yang terhad serta mampu membina tanggungjawab bersama dalam komuniti,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menggesa agar garis panduan jelas diberikan kepada penyelia, komuniti dan pelaksana agar pelaksanaan kekal adil dan bebas daripada unsur politik.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan hukuman khidmat masyarakat ke atas kanak-kanak, yang turut termaktub dalam pindaan ini.

“Walaupun pindaan ini mungkin bersifat mendidik, namun saya sangat bimbang jika pelaksanaan tidak diselaraskan dengan jelas. Ia boleh membawa kepada ketidakadilan terhadap remaja dan pelajar sekolah yang melakukan kesalahan kecil seperti membuang sampah kecil.

“Tanpa had umur minimum dan garis panduan khusus, hukuman khidmat masyarakat sehingga 12 jam dan tempoh enam bulan ini mungkin akan membebankan mereka,” tegasnya.

Akhir sekali, beliau mencadangkan agar skop khidmat masyarakat diperluaskan untuk menjadi alat pendidikan sivik yang lebih berkesan.

“Pada masa kini, pelaksanaan khidmat masyarakat sering ditafsirkan kepada aktiviti menyapu sampah, memungut daun kering atau membersihkan longkang yang tersumbat.

“Walaupun amalan ini mendidik, ia bersifat rutin sementara dan tidak menjurus kepada perubahan sikap. Saya mencadangkan pesalah yang mencemarkan kawasan awam boleh diarahkan menanam pokok.

“(Ia) sebagai simbol ganti rugi kepada alam, selaras dengan prinsip pemulihan ekologi dan tanggungjawab bersama,” cadang beliau. – HARAKAHDAILY 22/7/2025

- Advertisement -