Penguatkuasaan tegas bagi bendung masalah sampah

Ahmad Yunus Hairi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan dan penguatkuasaan lebih tegas adalah perlu bagi membendung masalah pembuangan sampah yang semakin berleluasa khususnya melibatkan sampah plastik.

- Advertisement -

Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN–Kuala Langat) berkata, langkah itu termasuk mengenakan hukuman yang lebih berat serta arahan khidmat masyarakat yang setimpal bagi mendidik masyarakat ke arah lebih baik.

“Perkara paling penting adalah bagaimana kita kita nak mengubah tingkah laku kepada masyarakat supaya kita supaya lebih bertanggungjawab dalam pembuangan sampah di seluruh negara kita.

“Kalau kita lihat di dalam hasil daripada audit sampah semasa Hari Cuti Malaysia 2024 di Kuala Lumpur, yang tertinggi jumlah beratnya adalah sampah-sampah yang berasaskan kepada plastik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perbahasan Rang Undang-Undang Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau dalam pada itu menyambut baik keputusan kerajaan untuk tidak lagi mengeluarkan permit masuk (AP) bagi membawa masuk sampah untuk dikitar semula ke dalam negara, yang disifatkan sebagai satu isu besar.

“Kita melihat hari ini bahawa sampah plastik adalah bukan saja isu soal pembuangan sampah itu sendiri, tetapi ia adalah masalah yang bersifat struktur dan sistemik. Krisis plastik bukan sahaja pengurusan sampah.

“Tetapi merupakan sebahagian daripada ‘triple planetary crisis’ iaitu pencemaran kehilangan biodiversiti dan perubahan iklim. Ia juga menimbulkan persoalan asas yang saya kira harus kita tangani bersama-sama.

“Secara realitinya sampah plastik ataupun sampah yang melibatkan di kawasan-kawasan jalan, parit dan juga bangunan, ia seolah-olah seperti cendawan selepas hujan yang mana kita lihat apabila lepas hujan maka parit-parit ini akan dipenuhi dengan sampah,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan agar menggunakan peluang sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk membimbing negara-negara Asia Tenggara tampil dengan suara yang tegas dan aspiratif.

“Saya kira ini ruangan kita, di samping kita jaga rantau kita, sambil kita jaga negara kita, juga kita akan bersuara di peringkat global yang berkaitan dengan isu sampah terutamanya produk-produk plastik ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2025

- Advertisement -