Kerjasama Perlis bangunkan potensi mangga harumanis

Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan menjalinkan kerjasama dengan Perlis melalui Jabatan Pertanian Negeri bagi mengembangkan lagi potensi dan penanaman mangga harumanis yang sangat sinonim dengan negeri Indera Kayangan itu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, inisiatif itu membabitkan 54 pengusaha tanaman tersebut di jajahan Bachok dan juga Pasir Mas.

“Insya-Allah kita membuat kerjasama dari segi kerjasama pengusaha tanaman ini, maknanya kita membawa mereka untuk dapatkan kursus dan menimba ilmu di Perlis lihat cara penanaman dalam ladang yang lebih besar di sana.

“Kita bersama Jabatan Pertanian Perlis telah bekerjasama untuk mendapatkan benih yang berkualiti asli supaya benih ini boleh dibawa balik, ini bukan sebarangan benih yang boleh dibeli di tepi jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Mohd Rusli Abdullah (PN-Wakaf Bharu) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Mohd Rusli meminta penjelasan kerajaan negeri mengenai sejauhmana kerjasama dengan negeri Perlis dalam penanaman mangga harumanis di Kelantan seperti dilakukan dalam gagasan Empat Kerajaan Negeri (SG4).

Sebelum ini dalam jawapan lisan Tuan Mohd Saripudin (PN-Selising) menjelaskan kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian Kelantan mengambil langkah strategik bagi memperluaskan potensi tanaman mangga harumanis.

Beliau berkata, kerajaan negeri kini sedang mengenal pasti tapak yang sesuai bagi pembinaan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan selepas berjaya mengusahakan tanaman tersebut di Bachok dan Pasir Mas.

“Bachok melibatkan 52 penanam dengan keluasan 9.32 hektar, pengeluaran diperolehi sebanyak 1.8 tan metrik dengan nilai RM45,500, manakala dua orang di Pasir Mas dengan keluasan 0.5 tan metrik keluasan 1 hektar.

“Kita juga menyediakan peruntukkan khas RM25,800 bagi kedua-dua jajahan ini untuk mengembangkan lagi tanaman ini,” katanya ketika menjawab soalan Mohd Rodzi Ja’afar (PN-Gaal) mengenai perkembangan mangga harumanis. – HARAKAHDAILY 22/7/2025

- Advertisement -