Seleweng LPG: Akta lebih tegas perlu digubal kerajaan

Kamal Ashaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menggubal undang-undang yang lebih tegas bagi menangani isu penyelewengan dan ketirisan gas petroleum cecair (LPG) yang semakin membimbangkan.

- Advertisement -

Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) berkata, undang-undang sedia ada dilihat tidak cukup memberi kesan kepada kegiatan penyelewengan yang berlaku.

“Apakah kementerian melihat antara faktor ketirisan dan keberanian penjenayah ini memadai undang-undang yang sedia ada? Adakah kerajaan bercadang untuk wujud satu undang-undang yang bukan hanya tertakluk kepada ketentuan bayaran denda?

“Tetapi melihat kepada sejauh mana penyelewangan yang telah berlaku supaya dia benar-benar memberi pengajaran kepada penjenayah?” Soalnya ketika mencelah pada sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai jumlah kes penyelewengan LPG yang telah dibawa ke mahkamah serta jumlah pesalah telah dihukum.

Selain itu, Kamal turut mencadangkan agar kerajaan menetapkan satu kuantiti simpanan stok LPG yang praktikal bagi peniaga kecil dan mikro, selaras dengan keperluan perniagaan semasa.

“Apakah kerajaan bercadang untuk memutuskan bilangan dan kuantiti kebenaran stok simpanan gas LPG yang praktikal untuk peniaga kecil dan makro?” soalnya.

Menjawab perkara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata antara punca utama ketirisan dan penyelewengan LPG adalah jurang harga yang besar antara tong gas bersubsidi dan tong gas komersial.

“Situasi ini telah menyebabkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil keuntungan atas angin khususnya harga di antara harga komersial dan juga harga subsidi tersebut. Kita tidak boleh bergantung hanya kepada penguatkuasaan semata-mata.

“Walaubagaimana kita tingkatkan ketangkasan penguatkuasaan tetapi tanpa wujudnya mekanisma pengurusan risiko tersebut maka sudah pasti akan ada ruang-ruang daripada berlakunya terus tindakan penyeludupan dan juga penyelewengan tersebut,” katanya.

Menurut beliau, kementerian kini sedang melaksanakan sesi libat urus di seluruh negara bagi mendapatkan maklum balas semua pihak sebelum meminda Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 2001.

“Pindaan ini bertujuan memperkenalkan mekanisme kawalan dan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh dan ampuh dengan mengambil kira pandangan semua pihak atas sebab itu kita bergerak kesemua negeri.

“Kita telah menyatakan bahawa semua pihak dialu-alukan dan mengemukakan memorandum cadangan bukan hanya berapa jenis tong gas yang dibenarkan tetapi juga bagaimana kita dapat mengawal, memantau supaya ada kebertanggungjawaban dan mengurangkan risiko tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2025

- Advertisement -