Cadang kajian semula geran kapita diterima Pusat

Mohd Nassuruddin Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan pernah mengusulkan kepada Kerajaan Persekutuan supaya Kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang (Capitation Grant) dinaikkan jumlah tersebut kerana tidak dikaji semula sejak tahun 2002.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud berkata, cadangan itu disambut baik Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, malah mengumumkan kenaikan yang berkuat kuasa mulai tahun 2026.

“Kadar ini tidak disemak sejak daripada 2002 lagi, dalam Mesyuarat Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri pada tahun lepas, saya telah mengemukakan cadangan ini agar ianya dikaji semula.

“Alhamdlillah cadangan saya ini dipersetujui mesyuarat dan mendapat respon yang agak positif dari Perdana Menteri, beliau sedar kadar ini adalah kadar lama yang sepatutnya dikaji semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Rohimi Wan Daud (PN-Melor) pada Persidangan Kali Yang Kedua bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, hari ini.

Wan Rohimi meminta penjelasan kerajaan negeri mengenai pemberian Kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang berdasarkan Bahagian Satu Jadual Kesepuluh Perkara 109 (1)(A) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga bertanya bila kali terakhir jumlah tersebut dinilai semula oleh Kerajaan Persekutuan dan berapa jumlah tahunan yang dibayar kepada Kelantan dalam tempoh 10 tahun terakhir iaitu 2015.

Mohd Nassuruddin (PN-Meranti) berkata, sejak tahun 2015 sehingga 2025 kerajaan negeri menerima geran sebanyak RM291 juta mengikut kadar yang telah digariskan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Beliau berkata, pada 2015 pihaknya menerima RM24.75 juta, 2016 (RM25.06 juta), 2017 (RM25.37 juta), 2018 (RM25.69 juta), 2019 (RM26.38 juta), 2020 (RM26.38 juta), 2021 (RM26.75 juta) dan 2022 (RM27.14 juta).

Jumlah tersebut semakin meningkat katanya susulan peningkatan bilangan penduduk iaitu pada tahun 2023 (RM27.54 juta), 2024 (RM27.96 juta), manakala pada 2025 Kelantan menerima sebanyak RM28.9 juta.

Mengenai kadar baru kata beliau, 100,000 pertama dinaikkan daripada RM72 kepada RM102 seorang, 500,000 berikutnya dinaikkan dari RM10.20 kepada RM14.00 dan 500,000 dari RM11.40 kepada RM13.00.

Media sebelum ini melaporkan kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang (Capitation Grant) dinaikkan 25 peratus atau RM109 juta kepada RM548 juta berkuat kuasa mulai 2026, menurut Perdana Menteri.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, kadar baharu tersebut diluluskan dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2025 yang dipengerusikan beliau pada bulan Mac lepas. – HARAKAHDAILY 22/7/2025

- Advertisement -