
KUALA LUMPUR: Setakat 18 Oktober 2024, sebanyak 8,272 pertubuhan belia telah berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), namun hanya 10 peratus atau kira-kira 800 pertubuhan sahaja yang telah melaksanakan pindaan perlembagaan bagi menyesuaikan diri dengan proses transisi had umur belia kepada 30 tahun.
Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) menyifatkan angka tersebut sebagai sangat rendah berbanding jumlah keseluruhan pertubuhan belia yang berdaftar.
“Saya melihat angka ini terlalu kecil berbanding usaha untuk melaksanakan transisi. Jadi, apakah langkah yang diambil oleh Kementerian untuk membantu pertubuhan-pertubuhan belia yang menghadapi kesukaran dalam proses ini?
“Mengapa tidak dilakukan secara berperingkat penurunan had umur belia ini?” soalnya semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Menjawab pertanyaan tersebut, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, pelbagai inisiatif telah digerakkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memudahcara pelaksanaan pindaan berkenaan.
“Pindaan akta ini telah diluluskan oleh Parlimen pada tahun 2019, dan saya kira Parlimen adalah platform tertinggi dalam penggubalan dasar.
“Namun, pelaksanaannya telah dua kali ditangguhkan disebabkan peristiwa Langkah Sheraton, pandemik COVID-19, serta pertukaran menteri pada ketika itu.
“Setelah Kerajaan Madani mengambil alih, kita berbincang semula isu ini dan memperuntukkan RM5 juta setahun menerusi kertas Jemaah Menteri bagi geran pentadbiran. Untuk tahun 2024 sahaja, sebanyak RM1.5 juta telah disalurkan khusus untuk program transisi ini,” katanya.
Sebelum itu, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) dalam soalan asalnya meminta penjelasan daripada Menteri Belia dan Sukan berkenaan usaha kementerian dalam memastikan pelaksanaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta A1602).
Ini kerana akta itu akan berkuat kuasa pada tarikh 1 Januari 2026, serta bertanya jumlah pertubuhan belia yang telah melakukan pindaan perlembagaan setakat ini. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











