
KUALA LUMPUR: Malaysia berisiko terus menjadi destinasi pelupusan sisa plastik global sekiranya kawalan terhadap kemasukan bahan itu tidak dipertingkatkan di semua peringkat, termasuk pemeriksaan kilang dan pengesanan awal di peringkat antarabangsa.
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN–Kubang Kerian) berkata, kelonggaran dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan telah membuka ruang kepada sindiket untuk menyeludup sisa plastik ke negara ini, dengan menyalahgunakan klasifikasi barangan di pelabuhan.
“Negara kita berdepan dengan isu penyeludupan dan penipuan klasifikasi ketika kontena tiba di pelabuhan, yang menjadi antara punca utama lambakan sisa plastik asing di negara ini.
“Kebiasaannya, kawalan hanya dilakukan melalui pemeriksaan secara rawak (spot check) di pelabuhan, namun pemeriksaan sedemikian jarang sekali dilaksanakan di kilang-kilang kitar semula plastik.
“Saya fikir ini di antara menyebabkan penyeludupan masuk dengan dengan banyak,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini hari ini.
Tuan Ibrahim turut mencadangkan supaya kerajaan menerokai teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sistem pemantauan digital sebagai langkah pencegahan jangka panjang.
“Apakah mekanisme dapat kita tingkatkan dengan penggunaan teknologi AI bagi kita mengesan lebih awal sisa yangbergerak daripada satu negara ke satu negara khusus ke negara Malaysia?” soalnya.
Menjawab soalan itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengakui isu kawal selia sisa plastik melibatkan pelbagai agensi kerajaan dengan bidang kuasa berbeza.
Termasuk terangnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
“Jadi keempat-empat ini mempunyai bidang kuasa yang sangat berbeza tetapi kalau kita nak dapat efektif penguatkuasaan empat-empat ni kena duduk satu meja itulah cadangan yang saya buat kepada kementerian apabila saya tengok keseluruhan ini empat-empat ini kena bekerja sebagai satu pasukan.
“Saya juga bersetuju Yang Berhormat punya pandangan tadi ialah kalau kontena masuk salah ‘declare’. Kastam mungkin tak boleh memeriksa setiap kontena yang sampai ke pelabuhan kita. Kemudian kontena itu terlepas keluar.
“Tetapi kalau ada pemantauan di setiap syarikat-syarikat yang memproses sisa plastik ini sudah tentu kita akan kenal pasti sama ada sisa plastik itu syarikat itu atau kilang itu dilesenkan atau kilang haram,” katanya.
Dalam soalan asal, Tuan Ibrahim minta menteri menyatakan pendirian Malaysia dalam forum antarabangsa untuk menangani isu pemindahan sisa plastik dari negara maju ke negara membangun.
Beliau mempersoalkan sama ada isu penjajahan sisa itu Malaysia menggesa sekatan eksport sisa plastik oleh negara bukan OECD seperti yang dilakukan Kesatuan Eropah. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











