
KUALA LUMPUR: Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat), mencadangkan agar kerajaan mempertimbang pelaksanaan vaksinasi di kawasan-kawasan ‘hotspot’ denggi yang berulang, selain mempersoalkan keberkesanan kaedah kawalan sedia ada.
“Saya lihat KKM mempunyai portal i-Denggi yang kalau kita lihat di situ juga ada statistik berkaitan dengan ‘hotspot’ dan juga tempoh wabak dan saya dapati kalau kita lihat dalam minggu epidemik 29 ‘hotspot’ yang tertinggi adalah di Selangor,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Menurut beliau, antara kawasan yang terlibat ialah PJS 9/1 dengan tempoh wabak 143 hari, Lembah Subang (90 hari) dan Seksyen 7 (76 hari).
“Apakah manifestasi ini menunjukkan bahawa kegagalan kita mengawal mungkin semburan yang tidak efektif ataupun apakah kaedah mungkin program-program COMBI sebagai contoh saya lihat pada hari ini dia agak lesu ya,” ujar beliau lagi.
Dr Ahmad Yunus juga bertanya sama ada terdapat inisiatif peruntukan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT), serta galakan pemberian vaksin di kawasan berisiko tinggi.
Menjawab soalan tersebut, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Selangor merupakan negeri tertinggi mencatat kes denggi, disusuli oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Ya pastinya Selangor mendahului yang disusuli oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kita tahu organisasi dan cuaca faktor cuaca semuanya adalah terkait dengan penentuan ini,” katanya.
Menurut beliau, antara inisiatif terbaharu yang sedang dikembangkan ialah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengenal pasti hotspot lebih awal secara proaktif.
Terdahulu, soalan asal dikemukakan oleh Dr Ahmad Yunus adalah mengenai status pembangunan vaksin denggi dan cadangan untuk memperkenalkan program vaksinasi kebangsaan memandangkan penyakit tersebut telah dikategorikan sebagai endemik. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











