
KUALA LUMPUR: Dato’ Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) menggesa kerajaan memberikan penjelasan terperinci berhubung langkah-langkah akan diambil susulan pemotongan subsidi telur yang menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM45 juta sebulan.
Beliau berkata, telur merupakan antara bahan makanan utama rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan penduduk luar bandar, yang menjadikannya sumber protein harian paling mampu milik.
“Telur ini lauk paling murah. Kebanyakan orang kampung memang bergantung kepada telur sebagai sumber protein mereka dan dengan tekanan kos sara hidup hari ini kita melihat bahawa apabila pengurangan subsidi dikenakan terhadap telur ini.
“Jadi selain daripada pemantauan, apakah peranan kementerian untuk memastikan harga telur tidak meningkat akibat daripada penaikan subsidi harga telur,” katanya semasa mencelah di Dewan Rakyat, hari ini.
Mas Ermieyati turut meminta kerajaan menyatakan dengan jelas ke manakah wang penjimatan RM45 juta itu akan disalurkan dan bagaimana ia dapat membantu meringankan beban rakyat.
“Saya ingin tahu apakah dasar ataupun pengumuman ataupun produk baru daripada pihak kementerian hasil daripada penjimatan tersebut untuk membantu rakyat RM45 juta itu?” soalnya.
Menjawab persoalan itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menjelaskan bahawa wang penjimatan berkenaan diserah semula kepada pihak Perbendaharaan untuk perancangan seterusnya.
“Sebarang penjimatan wang itu dipulang kepada pihak Perbendaharaan. Mereka yang akan merancang untuk membawa ke mana wang itu. Kalau diberi kepada saya sudah tentu kita boleh bantu lebih banyak lagi golongan B40,” katanya.
Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) turut memberi jaminan bahawa bekalan dan harga telur kini berada dalam keadaan stabil di seluruh negara.
“Sekarang ini alhamdulillah keadaan telur agak stabil di seluruh negara. Malah ada peniaga yang mengadu terpaksa jual lebih murah, terutamanya telur gred C dan D.
“Kalau ada tempat yang menghadapi masalah ‘poket’ harga, sila buat aduan. Insya-Allah, pegawai Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan ambil tindakan segera,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











