
KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar memberikan penjelasan berhubung tindakan serta perancangan dalam menangani isu tarif sebanyak 25 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap barangan dari Malaysia sebelum 1 Ogos ini.
Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) berkata, penjelasan di Dewan Rakyat itu adalah selari dengan Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) yang memperuntukkan penerangan daripada menteri-menteri berkaitan.
“Susulan kepada perbahasan dalam sidang khas tarif AS tempoh hari, di mana saya sarankan suatu pendekatan keseluruhan negara (whole of nation approach), melibatkan peranan rentas-kementerian dan rentas-negeri.
“Namun setelah kita bersidang, kita berunding, pada 7 Julai, kita terima surat daripada Presiden Trump kepada Perdana Menteri, tarif baharu Malaysia menokok satu mata kepada 25 peratus, tidak turun seperti yang dijangka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau turut memohon penjelasan berhubung ‘garis merah’ disebut oleh Perdana Menteri, yang dikatakan merupakan penegasan Malaysia khususnya terhadap campur tangan dalam dasar domestik serta kaitannya dengan bidang kuasa negeri dalam isu itu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam jawapannya berkata, kerajaan sentiasa mengutamakan prinsip keterbukaan, rundingan yang konstruktif serta menghormati perbincangan perdagangan dengan AS.
“Walaupun kita bersikap proaktif dan terbuka dalam rundingan, tetapi kita ada beberapa garis merah yang dipersetujui di peringkat kabinet baru-baru ini. Contohnya seperti dasar Bumiputera dalam pemilikan tempatan dan juga dalam sektor-sektor strategik.
“Juga keutamaan keutamaan keutamaan kepada syarikat tempatan dan bumiputera dalam perolehan kerajaan, itu satu lagi garis merah. Ada juga disebut mengenai had ekuiti asing yang telah ditetapkan dalam dasar negara dalam sektor-sektor tertentu,” katanya.
Syahir dalam soalan asal meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan langkah kerajaan dalam menangani isu tarif AS dengan keterlibatan kerajaan negeri supaya dapat menyelaraskan respons pelaburan.
Selain katanya, menyusun semula insentif negeri serta membantu industri tempatan mengadaptasi dengan landskap dagangan yang lebih mencabar. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











