
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mempertahankan sepenuhnya kedaulatan Malaysia ke atas blok ND6 (Blok Y) dan ND7 (Blok Z) di Laut Sulawesi yang merupakan ‘khazanah besar’ negara bernilai trilion ringgit.
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) turut mempersoalkan sama ada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002 berhubung Pulau Ligitan dan Sipadan telah dimanfaatkan sepenuhnya.
“Walaupun Indonesia menuntut kawasan itu atas nama Ambalat, keputusan ICJ pada 2002 yang mengesahkan Pulau Ligitan dan Sipadan milik Malaysia.
“Blok ND6 dan ND7 ini boleh meraih 1.4 trilion padu gas dan juga 760 puluh juta tong minyak. Ini adalah khazanah besar yang tidak boleh terhakis dan dituntut oleh negara lain kerana ia adalah tanah laut milik Malaysia.
“Itu yang perlu dipegang sekuat-kuatnya oleh mana-mana kerajaan sama ada kerajaan yang akan dibentuk selepas ini ataupun kerajaan yang ada sekarang ini,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan maritim Malaysia-Indonesia pada 2023 belum dimuktamadkan dan kawasan Laut Sulawesi tidak termasuk dalam sebarang perjanjian.
“Saya dah tegaskan di Parlimen bahawa persetujuan itu tidak boleh didedahkan kerana kawasan Laut Sulawesi ini tidak termasuk dalam perjanjian tersebut kerana belum dipersetujui. Bila tiada persetujuan statusnya sementara waktu (KIV),” katanya.
Ronald Kiandee dalam soalan asal minta Perdana Menteri menyatakan keputusan ICJ pada 2002 mengenai kedaulatan Pulau Ligitan dan Sipadan dapat mempengaruhi penentuan sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia di kawasan Laut Sulawesi termasuk kedaulatan blok ND6 (Blok Y) dan ND7 (Blok Z). – HARAKAHDAILY 22/7/2025











