GAMIS ajak siswa gegar Himpunan Turun Anwar 26 Jul

Mohammad Azamuddin Sahar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran Himpunan Turun Anwar yang akan diadakan pada Sabtu, 26 Julai ini di Ibu Negara.

- Advertisement -

Presidennya, Mohammad Azamuddin Sahar menyeru seluruh mahasiswa, mantan aktivis mahasiswa dan rakyat Malaysia agar turun bersama menjayakan perhimpunan yang dijadual bermula di Pasar Seni sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

“Siri demonstrasi dan himpunan rakyat bukanlah sesuatu yang asing dalam negara yang menjunjung nilai demokrasi. Negara kini sedang berdepan cabaran hidup dan kebobrokan kuasa yang menindas rakyat bawah.

“Mahasiswa dan rakyat menjadi mimpi ngeri buat mana-mana pemimpin yang zalim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara isu utama yang dibangkitkan termasuk peningkatan kos sara hidup, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kenaikan tarif elektrik, pencabulan institusi kehakiman serta kes-kes rasuah dikaitkan dengan pemimpin kerajaan.

Tambah Azamuddin lagi, kegagalan kerajaan menunaikan janji pendidikan percuma, peningkatan yuran mahasiswa dan kelemahan menyelesaikan isu PTPTN turut menjadi punca kemarahan generasi muda.

“Reformasi telah mati. Kami turun atas dasar ingin menyelamatkan Malaysia daripada tangan rejim yang gagal dan boros,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru para penjawat awam agar tidak gentar untuk menyatakan solidariti, sambil mencadangkan pemakaian pelitup muka, jaket hitam dan kaca mata hitam bagi mengelakkan dikenali.

“Perlembagaan menjamin hak untuk berhimpun secara aman. Rakyat bukan hamba yang perlu tunduk kepada tuan yang zalim,” ujarnya lagi.

Menurut GAMIS, lokasi berkumpul akan bermula di Pasar Seni pada jam 1.30 petang sebelum perarakan menuju ke Dataran Merdeka diteruskan meskipun berlaku sebarang halangan. – HARAKAHDAILY 22/7/2025

- Advertisement -