Kawal BNPL, elak generasi muda terjerat hutang

Syahir Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mengetatkan kawal selia terhadap skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) bagi mengelakkan generasi muda terjebak dengan hutang isi rumah yang tinggi.

- Advertisement -

Syahir Sulaiman (PN-Bachok) berkata, kecenderungan menggunakan kemudahan BNPL semakin membimbangkan apabila ia diperluas kepada transaksi bernilai tinggi dengan tempoh bayaran sehingga 24 bulan, berbanding tempoh lazim 1 hingga 6 bulan.

Beliau berkata, walaupun kadar tunggakan ketika ini masih rendah pada sekitar 2.9 peratus, kecenderungan untuk berhutang dan risiko kewangan tetap wujud, terutama dalam kalangan generasi muda, pelajar institusi pengajian tinggi dan kumpulan B40.

“Semua ini perlu diambil kira dalam penetapan peraturan, standard dan garis panduan oleh Suruhanjaya Kredit Pengguna yang ditubuhkan melalui fasal 6, 7 dan 8 RUU ini, supaya benar-benar dapat melindungi kepentingan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna 2025, di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Menurut beliau, sehingga Disember 2024, terdapat 12 penyedia BNPL yang aktif, termasuk empat yang mematuhi prinsip Syariah.

“Tiga penyedia utama iaitu Shopee (SPayLater), Grab (PayLater) dan Atome, menguasai lebih 95 peratus pasaran dari segi akaun aktif, jumlah dan nilai transaksi.

“Adakah wujud elemen monopoli atau oligopoli dalam sektor yang lumayan ini, dan apakah langkah kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak persaingan supaya kepentingan pengguna lebih terjamin. Mohon penjelasan YB Menteri,” katanya.

Beliau turut merujuk keputusan Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) pada Januari lalu yang memutuskan BNPL dibenarkan, dengan syarat ia distruktur menggunakan kontrak Syariah yang sesuai dan berdasarkan penilaian kredit menyeluruh.

“Adakah mekanisma yang diperuntukkan dalam RUU ini memenuhi setiap kriteria yang ditetapkan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara?

“Adakah mekanisma ini boleh mengikat atau sekadar menjadi panduan kepada penyedia perkhidmatan BNPL bukan bank, yang tidak dikawal selia oleh Bank Negara. Mohon penjelasan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -