
KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat kredit mengendalikan ‘Buy Now, Pay Later’ (BNPL) dicadangkan supaya dihapuskan, dengan tanggungjawab tersebut diserahkan kepada pihak bank yang menjalankan transaksi berkenaan.
Datuk Awang Hashim (PN–Pendang) berkata, gejala BNPL itu dibimbangi akan bertukar menjadi pinjaman tidak berbayar (NPL), sekali gus menambah kepada masalah sedia ada dan meningkatkan lagi kadar NPL di negara ini.
“Kita tengok di Malaysia sekarang ini, seramai 5.1 juta pengguna aktif telah menggunakan BNPL, majoritinya berumur antara 21 hingga 45 tahun dan berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.
“Ini adalah kelompok yang berisiko tinggi, terperangkap dalam hutang yang tidak terkawal yang mana unjuran sistem ini digagaskan oleh kerajaan pada hari ini,” katanya dalam Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada akta tersebut akan memberi kuasa kepada Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) untuk menetapkan had kredit individu berdasarkan kemampuan kewangan pengguna.
Jelas beliau, sekiranya tiada had ditetapkan dan tiada penilaian kemampuan kewangan secara wajib, dikhuatiri gejala BNPL akan menjadi perangkap hutang yang besar kepada rakyat.
“Oleh sebab itu, saya syorkan agar RUU ini memperuntukkan penilaian kemampuan secara menyeluruh dan percuma sebagai syarat mandatori sebelum pengguna ditawarkan kredit BNPL.
“Struktur yuran dan penalti, fasa satu, dua, tiga dalam RUU ini memberi kuasa kepada pemberi kredit untuk meletakkan sendiri struktur fi dan penalti. Ini membolehkan ruang kepada amalan tidak adil seperti caj tersembunyi,” ujarnya.
Justeru, beliau berharap agar RUU berkenaan turut memperuntukkan kawal selia terhadap syarikat pengutip hutang yang digunakan oleh penyedia BNPL bagi mengelakkan pengguna daripada terjerumus dalam gejala seperti gengsterisme.
“Mereka ini mendapat makan, mendapat upah daripada apa yang sedang dilakukan dalam sistem BNPL ini. Kita perlukan yang tegas untuk melindungi pengguna daripada amalan tidak beretika ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2025











