
KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mempersoalkan sama ada wujud kejayaan nyata daripada pelaksanaan klausa berkaitan pemindahan teknologi dalam kontrak-kontrak perolehan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Dalam soalannya, beliau bertanya kepada Menteri Pertahanan sama ada terdapat contoh kejayaan (sukses story) dalam pelaksanaan klausa ‘transfer of technology’ (ToT) dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.
“Jadi kepada Yang Berhormat Menteri, saya nak tahulah. Boleh tak bagi saya satu contoh sukses story klausa transfer technology ini dalam masa sepuluh tahun. Memang setiap kali pembelian ada klausa ToT, tapi ada tak yang benar-benar berjaya,” katanya.
Menjawab persoalan itu, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setiap kontrak perolehan pertahanan mengandungi elemen kerjasama industri program yang merangkumi pemindahan teknologi.
“Pemindahan teknologi ini disalurkan kepada syarikat-syarikat tempatan yang berkecimpung dalam industri pertahanan, khususnya dalam bidang penyelenggaraan, baik pulih dan pemeriksaan semula (maintenance, repair and overhaul),” ujarnya.
Pada soalan asal, Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) meminta Menteri Pertahanan menyatakan langkah kerajaan membina keupayaan
pertahanan kendiri dan ketenteraan.
Termasuk soalnya, dalam pembangunan teknologi senjata tempatan dan pengurangan kebergantungan kepada kuasa luar bagi menghadapi ancaman masa depan seperti yang dilakukan oleh negara Iran. HARAKAHDAILY 21/7/2025











