Lepas jadi PM dan Menteri, tak dengar lagi suara rakyat

- Advertisement -

ALOR SETAR: Perdana Menteri dan Menteri-menteri dalam kabinet kerajaan sekarang ini tidak lagi mendengar suara rakyat setelah berada di jawatan tersebut, sebaliknya hanya mendengar suara tauke-tauke dan suara orang-orang yang mendatangkan kepentingan kepada mereka.

Menteri Besar, Dato’ Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rakyat juga turut cuba disekat dari mendengar kebenaran di mana sengaja diselindungkan untuk menjaga kepentingan kuasa dan gerombolan yang bersikap tidak sedar diri setelah mendapat kuasa.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS berucap demikian dalam Himpunan Mandat Negarawan dilangsungkan dengan kehadiran lebih 30,000 penyokong di Stadium Suka Menanti, di sini sebentar tadi.

Dalam ucapan itu, Sanusi turut menjelaskan signifikan pemilihan Suka Menanti sebagai program mega pemula menuju Himpunan Turun Anwar yang akan diadakan di Ibu Negara pada 26 Julai depan.

Menurutnya, Suka Menanti mencatatkan sejarah sewaktu perang besar mempertahankan tanah air ini di mana Kedah berhadapan kuasa besar daripada utara masa itu Siam.

“Perang 1821 hingga 1842 lebih 20 tahun. Perang silih berganti. Kadang-kadang orang Kedah berundur, kadang-kadang orang Siam berundur. Suka Menanti adalah salah satu pusat para pemimpin pada waktu itu.

“Mengumpulkan tentera-tentera yang akan berlayar melalui Sungai Kedah untuk menyertai gerombolan besar yang datang daripada Sumatera, dari Aceh, dari Palembang, dari Pahang, Terengganu, Kelantan.

“(Iaitu) untuk menyertai satu pertembungan besar untuk membebaskan Kedah
Darul Aman daripada cengkaman Siam Ligor. Inilah Suka Menanti. Tetapi malam ini kita berhimpun sekali lagi di Suka Menanti untuk kita pergi ke Kuala Lumpur pada 26 Julai.

- Advertisement -

“Himpunan ini sama penting dengan 26 Julai kerana di Suka Menanti inilah satu ketumbukan dibentuk, akhirnya Kedah bebas cengkaman Siam pada 1842 dengan di sinilah ramai para pemimpin, pahlawan termasuk para ulama.

“Untuk kita tunjukkan syarat, kita akan bebaskan negara ini daripada cengkaman orang-orang yang tidak mengenal kita lagi selepas menjadi Perdana Menteri dan Menteri-menteri,” bidasnya. – HARAKAHDAILY 17/7/2025

- Advertisement -