Anwar tertekan: Rakan komponen mendesak

- Advertisement -

ALOR SETAR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kini berada dalam keadaan tertekan dan semakin kehilangan sokongan daripada dalam dan luar kerajaan, susulan kebangkitan rakyat yang kian lantang mendesak beliau berundur.

- Advertisement -

Ketua Armada BERSATU Malaysia, Muhammad Hilman Idham berkata,  tekanan bukan hanya datang daripada gelombang rakyat yang bakal berhimpun pada 26 Julai ini, malah dari kalangan rakan komponen sendiri, khususnya Umno.

“Saya baru sahaja berjumpa dengan seorang sahabat lama yang dekat dengan Anwar. Dia mengakui Anwar sudah panik. Umno tekan dia habis-habisan dalam pertemuan baru-baru ini.

“Mereka minta dia ikut arahan, minta dia bebaskan Dato’ Sri Najib Razak,” katanya ketika berucap pada Himpunan Mega Anak Muda Selamatkan Malaysi di Stadium Suka Menanti, di sini petang tadi.

Hilman menambah, kedudukan Anwar dalam kerajaan dilihat semakin lemah apabila kekuatan PKR yang dipimpin beliau menyusut kepada hanya 22 Ahli Parlimen selepas kumpulan diketuai Rafizi Ramli disisihkan.

Sebaliknya, Umno dan Barisan Nasional kini menguasai 30 kerusi Parlimen, memberikan mereka pengaruh lebih besar dalam Kerajaan Perpaduan.

“PKR makin mengecil, tapi Anwar masih mahu semua orang ikut cakap dia. Hari ini orang dalam sendiri pun sudah mula menjarakkan diri,” jelas Hilman.

Lebih parah katanya, imej Anwar di media sosial juga semakin tercalar, apabila setiap kemunculan beliau lebih banyak disambut dengan sindiran dan ketawa oleh rakyat, berbanding tanda suka.

“Di media sosial, setiap kali ada berita tentang PMX, yang gelak lebih ramai daripada yang sokong. Ini isyarat jelas rakyat dah muak,” katanya.

Dedahnya lagi, Anwar kini sedang dalam keadaan tidak stabil, menyalahkan semua pihak atas kegagalannya sendiri sehingga terpaksa mengerahkan AMK untuk mempertahankan imejnya di media sosial.

“Maklumat yang bocor semalam menyebut seluruh jentera media sosial AMK diarahkan untuk bantu Anwar. Semua diminta ‘tolong, tolong, tolong’ pertahankan dia. PMX sudah hilang arah,” katanya.

Tegas Hilman, himpunan rakyat pada 26 Julai ini adalah manifestasi jelas kemarahan rakyat terhadap seorang individu yang gagal melunaskan janji-janji ditabur sebelum memegang tampuk pemerintahan.

“Kita semua akan berhimpun kerana seorang individu bernama Anwar Ibrahim. Dia janji nak turunkan harga minyak, nak kurangkan yuran pendidikan semuanya palsu. Dia penipu,” katanya.

Beliau menyeru seluruh rakyat khususnya anak muda dari seluruh negara agar memastikan kehadiran di Kuala Lumpur pada 26 Julai nanti, walaupun pelbagai sekatan dijangka akan dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Kami dimaklumkan bahawa bermula 24 hingga 25 Julai, akan ada sekatan jalan raya dari semua arah ke Kuala Lumpur. Tapi kita di utara mesti pastikan, walau apa pun rintangannya, kita mesti berada di sana,” tegas Hilman. – HARAKAHDAILY 17/7/2025

- Advertisement -