Anak muda ke HTA 26 Julai, bangkit tolak PM Anwar

- Advertisement -

ALOR SETAR: Anak muda diseru agar bangkit menyatakan penentangan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya gagal memikul amanah sebagai pemimpin negara.

- Advertisement -

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin menyeru demikian ketika berucap dalam Himpunan Mega Anak Muda Selamatkan Malaysia di Stadium Suka Menanti, di sini petang tadi.

Tegasnya, sejarah membuktikan kebangkitan anak muda sering menjadi titik perubahan dalam perjuangan menentang kezaliman dan ketidakadilan.

“Sekumpulan anak muda yang diberikan kefahaman oleh Allah, mereka beriman lalu akhirnya mereka bangkit menentang kerajaan yang zalim. Kita mesti menjadi seperti mereka.

“Kita hadir dari seluruh pelosok tanah air, kita kumpulkan tenaga, kita simpulkan kesatuan,” ujarnya penuh semangat.

Katanya, kebangkitan pada kali ini bukan sahaja melibatkan anak muda daripada PAS, malah turut mengundang semua pihak termasuk dari Armada BERSATU.

Juga katanya, kalangan mereka yang tidak berparti agar sama-sama turun menyatakan pendirian terhadap tekanan hidup semakin mencengkam rakyat akibat kegagalan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

“Anak muda hari ini mesti menunjukkan rasa mereka terhadap tekanan Kerajaan Madani. Sudah tiba masanya kita suarakan penolakan terhadap kegagalan ini,” katanya.

Menurutnya lagi, pada 26 Julai ini, dijangka lebih 300,000 rakyat akan berhimpun di ibu negara dalam satu gelombang besar-besaran sebagai manifestasi kemarahan terhadap kerajaan hari ini.

“Kedah akan menghantar tidak kurang daripada 1,000 buah bas ke Kuala Lumpur. Ini isyarat jelas bahawa rakyat, khususnya anak muda, sudah muak dengan kegagalan Anwar Ibrahim,” tegasnya.

Beliau turut merujuk kepada penulisan terkini Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di mana menekankan bahaya meletakkan amanah kepimpinan kepada mereka yang tidak layak.

“Tuan Guru Presiden menulis, apabila amanah diletakkan kepada yang tidak layak, maka nantikanlah hari kiamat. Dan inilah puncanya kita akan turun pada 26 Julai demi menuntut kembali amanah yang telah dikhianati,” katanya.

Tambahnya, Perdana Menteri bukan sahaja gagal menjaga amanah tersebut, malah menjadi punca kepada kerosakan dalam negara dan penderitaan rakyat.

“(Pada) 26 Julai ini kita akan berhimpun dan menyatakan dengan tegas, Anwar Ibrahim perlu turun sebagai Perdana Menteri. Cukuplah rakyat menderita,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 17/7/2025

- Advertisement -