Tindakan segera naik taraf jalan raya demi keselamatan

Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria
- Advertisement -

KUBANG PASU: Susulan kemalangan yang berlaku di Jalan Bayas ke Jitra baru-baru ini, langkah segera telah diambil oleh pihak berwajib bagi meningkatkan keselamatan di kawasan berisiko.

- Advertisement -

Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, tindakan pantas hasil kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jurutera Daerah Kubang Pasu membolehkan kerja-kerja pemasangan papan tanda keselamatan serta lampu ‘blinker’ dijalankan segera di beberapa lokasi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Negeri itu berkata, lokasi yang terlibat ialah Simpang 3 Bukit Wang, Jalan Kampung Belukar, Kampung Padang Panjang dan Kampung Perik (K016).

“Langkah ini amat penting demi keselamatan pengguna jalan raya. Kita berharap ia dapat memberi manfaat dan mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.

Menurut beliau, beliau sendiri singgah meninjau lokasi kejadian semasa dalam perjalanan pulang dari Jerlun dan mengambil maklum awal terhadap keadaan jalan serta kemungkinan punca kemalangan.

“Saya turut mengambil peluang untuk melihat sendiri keadaan jalan demi memastikan tindakan susulan yang lebih berkesan dapat diambil. Semoga mangsa kemalangan diberikan kesembuhan dan segala urusan mereka dipermudahkan,” tambahnya.

Beliau turut mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan.

“Pandulah dengan berhati-hati, sayangi nyawa anda dan orang tersayang. Dan bagi umat Islam, jangan lupa untuk membaca doa menaiki kenderaan dan ayat-ayat al-Quran sebelum memulakan perjalanan sebagai pelindung dan penguat keyakinan kepada Allah SWT,” ujarnya.

Kemalangan tersebut dilaporkan berlaku pada Selasa, 8 Julai lalu. – HARAKAHDAILY 16/7/2025

- Advertisement -