
KUALA LUMPUR: Profesional Istiqamah menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), pentadbiran Madani dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kekal menjual ‘harapan’, ‘janji’ dan ‘potensi’.
Dalam kenyataannya, kumpulan itu mempersoalkan apa yang perlu rakyat rasa bangga dan teruja dengan pengumuman Kerajaan Madani berkenaan hadiah besar untuk rakyat.
Menurutnya, poster dipaparkan dengan bayangan individu serta ayat ‘hadiah’ besar untuk rakyat atas pengorbanan selama ini disifatkan sebagai langkah yang cukup ironi, lucu dan puitis.
“Langkah ini menggambarkan keseluruhan inti dan kualiti Kerajaan Madani pimpinan Anwar, iaitu hanya pandai berjanji. Tiada sesuatu yang utuh disampaikan kepada rakyat.
“Rakyat sudah hampir tiga tahun di bawah pemerintahan PH dan mereka sudah masak dengan segala janji. Gaya pengumuman ini seolah-olah satu kejayaan, sedangkan rakyat melihat ia hanya janji kosong,” katanya.
Kumpulan itu turut menyifatkan pendekatan pengumuman itu sebagai politik gimik murahan, apabila laman rasmi kerajaan dan kementerian secara serentak mengeluarkan kandungan sama.
“Ini semacam satu modus operandi gelombang dan propaganda parti politik yang murahan. Agak janggal apabila laman rasmi agensi kerajaan dan kementerian memuat naik pengumuman ini,” tempelaknya.
Profesional Istiqamah turut mengkritik kebergantungan pentadbiran PH terhadap politik berasaskan batang tubuh individu semata-mata, susulan mesej dan poster yang disampaikan.
“Difahami bahawa ada individu tertentu yang mungkin dilantik dan diberi tanggungjawab baharu. Namun, Anwar dan PH perlu faham, adakah dengan melantik mana-mana individu akan terus menyelesaikan segala masalah negara sekarang?
“Masih adakah individu berkualiti dan hebat dalam PH yang boleh menggantikan barisan sedia ada? Jika ada, mereka mungkin hebat pada pandangan Anwar dan PH, tetapi adakah mereka hebat dan layak pada pandangan rakyat? Hebat sangatkah individu yang dicanang-canang ini?” soalnya.
Kumpulan itu berpendapat, gimik itu hanya sekadar pengumuman untuk mengalih perhatian rakyat, namun isu dasar tetap tidak selesai.
“Untuk menghiburkan rakyat bolehlah, tetapi rakyat menagih dasar dan idea pengurusan negara yang baharu, serta politik matang yang menyelesaikan masalah rakyat secara komprehensif, teratur dan sederhana.
“Bukan politik lama yang penuh retorik dan janji kosong. Mari sama-sama kita tunggu apa yang gah sangat dengan pengumuman Madani kali ini. Moga-moga bukan sekadar potensi atau janji,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2025











