Nurul Izzah bawa mesej reformasi Madani gagal?

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Kehadiran Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar ke Himpunan Bebaskan Kehakiman yang berlangsung baru-baru ini mencetus persoalan terhadap integriti Kerajaan Madani diterajui bapanya, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

- Advertisement -

Anas Soffy Abd Wahid berkata, tindakan Nurul Izzah menyertai demonstrasi tersebut bukan sekadar simbolik sokongan terhadap kebebasan institusi kehakiman, sebaliknya membawa mesej tersirat bahawa reformasi institusi yang dijanjikan oleh kerajaan kini telah gagal.

“Kalau benar Kerajaan Madani bersih dan telus, tidak mungkin Timbalan Presiden PKR sendiri sanggup turun ke jalan. Ini bukan aktivisme ini adalah satu bentuk pengakuan bahawa kerajaan hari ini gagal mempertahankan kebebasan kehakiman,” tegasnya.

Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pulau Pinang itu berkata, kehadiran Nurul Izzah menimbulkan persoalan besar sama ada beliau sendiri tidak lagi yakin terhadap sistem pentadbiran kerajaan yang diterajui oleh bapanya.

“Kalau Timbalan Presiden PKR pun hilang kepercayaan terhadap kerajaan, apa lagi yang tinggal untuk rakyat percaya? Jangan permainkan dan manipulasi rakyat. Jika benar wujud campur tangan kehakiman, siapa pelakunya? Siapa yang harus bertanggungjawab?” soalnya lagi.

Anas berkata, keresahan rakyat terhadap kemungkinan campur tangan politik dalam sistem kehakiman adalah berasas dan tidak boleh disapu di bawah karpet begitu sahaja.

“Rakyat mahukan tindakan yang tegas dan telus, bukan sekadar kenyataan lepas tangan. Suara rakyat adalah suara keramat. Rakyat adalah hakim negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2025

- Advertisement -