
KUALA LUMPUR: Sekretariat Syubban (Pemuda) Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menegaskan penolakan terhadap pelantikan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, kerana dianggap mencabar kedaulatan Islam dan negara.
Pengerusinya, Dr Ainul Asyraf Lokman menegaskan, penolakan itu berakar dari kewajipan sebagai pewaris perjuangan ulama dan generasi muda yang memikul amanah mempertahankan kedaulatan agama dan negara.
“Nick Adams bukan diplomat. Beliau ialah ejen perpecahan yang rekodnya diwarnai retorik Islamofobia, rasisme, dan penyokongan membuta-tuli terhadap kekejaman rejim Zionis.
“Tindakannya memaksa pemecatan pekerja restoran hanya kerana pin ‘Free Palestine’ mendedahkan watak sebenar, seorang penindas yang merendahkan prinsip asas kemanusiaan,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, menerima Adams di bumi Malaysia bererti mengkhianati roh Perlembagaan yang menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan, sekali gus mencabul sensitiviti rakyat berbilang kaum yang menolak ekstremisme.
Katanya, sebagaimana semangat Piagam Madinah menyeru kepada perpaduan dalam kalangan warganya untuk menentang sebarang bentuk pencerobohan dan ancaman luar, Malaysia wajib menolak wakil diplomatik yang bersekongkol dengan rejim penjajah Zionis.
“Penerimaan Adams adalah pengkhianatan terhadap prinsip ini. Sebagai negara di bawah kepimpinan ulama, Malaysia wajib menolak pentas apa pun bagi tokoh yang memperlekeh syiar Islam dan perjuangan Palestin.
“Pelantikan Adams bukan sekadar ancaman kepada hubungan dua hala, tetapi ujian integriti bagi kerajaan dalam mempertahankan prinsip negara.
“Penerimaannya bakal menodai maruah sejarah Malaysia sebagai ‘suara umat tertindas’ antarabangsa, seolah-olah membenarkan kezaliman dan penindasan,” tegasnya.
Dr Ainul Asyraf berkata, sikap berdiam diri bererti membenarkan racun permusuhan kaum merebak di tanah air yang menjunjung konsep Wasatiyyah, kesederhanaan dan keadilan yang dianjurkan dalam Islam.
“Keteladanan Nabi SAW dalam Perjanjian Hudaibiyyah mengajar kita, tolak sebarang syarat merendahkan maruah Islam walau di bawah tekanan. Kerajaan Malaysia tidak boleh berkompromi dalam isu pelantikan duta yang menghina Palestin dan umat Islam,” gesanya.
Beliau berkata, di bawah Konvensyen Vienna, hak menolak duta asing bukan sekadar prosedur diplomatik, tetapi amanah Ilahi untuk menjaga keharmonian dan keselamatan rakyat.
“Kuasa ini wajib diguna demi menghalang penyusupan fahaman yang merobek perpaduan nasional dan keutuhan akidah ummah,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menuntut agar kerajaan menolak segera pencalonan Adams tanpa terbelenggu pertimbangan geopolitik dan mendesak Washington menghantar diplomat profesional yang menghormati identiti Malaysia sebagai negara Islam progresif.
Selain itu, beliau mahu penolakan ini diangkat sebagai jihad kontemporari mempertahankan ummah daripada ‘virus’ Islamofobia.
“Penentangan kami bukan soal politik semata-mata, tetapi kewajipan fardhu kifayah bagi setiap Muslim dan warga Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan.
“Malaysia tidak akan jadi medan eksperimen AS untuk normalisasi kezaliman, sebagaimana nenek moyang kita menentang penjajah dahulu, bersesuaian dengan sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang sentiasa menentang kezaliman dan mempertahankan kebenaran.
“Maruah negara bukan komoditi yang boleh dijual murah,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2025











