SST: Kesan berganda kepada pengguna, kerajaan perlu pantau

Saizol Ismail
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dalam skop baharu berpotensi memberi kesan berganda kepada pengguna apabila berlaku kenaikan harga pada setiap peringkat rantaian pengedaran barangan.

- Advertisement -

ADUN Salor, Saizol Ismail berkata, walaupun peluasan cukai ini dikatakan tidak membabitkan barang keperluan asas, namun pengenaan baharu serta kenaikan kadar perkhidmatan tetap memberikan kesan kepada peniaga kecil dan akhirnya ditanggung pengguna.

“SST ini memberi kesan berganda. Sedikit kenaikan atau cukai dikenakan kepada produk akan memberi kesan berganda pada setiap peringkat pemborong dan penjual sebelum produk sampai kepada pengguna,” katanya yang juga pengamal percukaian.

Menurut beliau, teori yang dikemukakan kerajaan sering kali tidak menggambarkan keadaan sebenar di lapangan iaitu dari segi teori tidak sama dengan realiti.

“Walau mungkin pengenaan dan skop baru diperluas kepada barangan yang tidak dalam senarai barangan keperluan, kerisauan kita ialah golongan peniaga yang ambil kesempatan setiap kali ada perubahan SST ini,” ujarnya.

Beliau turut menekankan keperluan kerajaan untuk menyampaikan maklumat yang lebih telus dan menyeluruh kepada rakyat.

“Kerajaan kena ‘educate’ dan bagi info lebih jelas kepada rakyat. Pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 perlu dikuatkuasa sepenuhnya,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 16/7/2025

- Advertisement -