Persepsi terhadap Kelantan mesti adil, jangan dibayangi prasangka

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa persepsi terhadap Kelantan mesti dinilai secara adil dan objektif, bukan berdasarkan prasangka atau naratif berat sebelah yang sering dimainkan oleh pihak tertentu.

- Advertisement -

Menurut beliau, penghijrahan anak-anak Kelantan ke luar negeri atau luar negara tidak boleh dijadikan ukuran kegagalan negeri, kerana fenomena itu berlaku di seluruh dunia dan merupakan sebahagian daripada realiti sosial moden.

“Dalam ilmu sosiologi, ini dikenali sebagai mobiliti sosial. Di mana-mana pun orang akan bergerak. Dari desa ke bandar. Dari negeri ke negeri. Dari negara ke negara.

“Kalau penghijrahan dijadikan ukuran kejayaan atau kegagalan sesebuah negeri, maka bukan sahaja Kelantan, bahkan seluruh negara perlu diteliti,” katanya Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu.

Mohd Amar berkata, semangat merantau, berani mencuba dan mudah menyesuaikan diri sudah lama menjadi budaya orang Kelantan.

“Ramai yang keluar untuk mencari pengalaman baharu, menjana pendapatan lebih baik dan membina kehidupan yang lebih stabil. Tapi apabila tiba masanya, ramai juga yang pulang membawa ilmu, modal dan jaringan untuk menyumbang semula kepada negeri,” katanya.

Beliau turut memberikan contoh kejayaan anak Kelantan seperti Khairul Aming yang membuka kilang di negeri sendiri serta Ain Medicare yang menghasilkan produk farmaseutikal bertaraf antarabangsa di Kelantan.

“Ini semua bukti bahawa dengan perancangan dan kesungguhan, negeri ini mampu menjadi tapak kukuh untuk pengeluaran berskala besar,” jelasnya.

Tambah Mohd Amar, persepsi terhadap Kelantan sering dibentuk dengan neraca yang tidak seimbang.

“Apa yang dianggap biasa di negeri lain, apabila berlaku di Kelantan terus dilihat sebagai kelemahan. Kalau mahu beri komen, silakan. Kalau mahu mengkritik, kita terbuka. Tapi mestilah dengan penilaian yang adil,” tegas beliau.

Menurutnya, kerajaan negeri terus merancang pelbagai inisiatif termasuk membuka peluang pelaburan, memperluas kawasan industri, serta menyokong dasar nasional seperti Pelan Tindakan Ekonomi Digital dan strategi semikonduktor negara.

Beliau turut berkongsi kejayaan ROHM Wako, syarikat semikonduktor Jepun yang telah lama bertapak di Kelantan.

“Saya sendiri pernah ke kilang utama mereka di Kasaoka, Jepun dan pihak pengurusan menyatakan bahawa kilang di Kelantan adalah antara yang terbaik dalam rangkaian global mereka,” katanya.

Mohd Amar berkata, kejayaan ini membuktikan bahawa suasana kerja dan tenaga mahir di Kelantan sangat diyakini pelabur asing.

“Anak Kelantan adalah sumber manusia yang luar biasa. Di mana sahaja mereka berada, mereka dikenali sebagai rajin, berdikari dan berdisiplin. Ramai yang kini memegang peranan penting dalam kerajaan, pendidikan, kesihatan dan sektor korporat.

“Insya-Allah, orang Kelantan akan terus berdiri sebagai nadi penggerak negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2025

- Advertisement -