23 projek baik pulih kemudahan tandas rumah ibadah

Sumbangan IWK dan SPAN

- Advertisement -

TUMPAT: Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar menyaksikan majlis penyerahan dan perasmian projek baik pulih dan naik taraf kemudahan tandas rumah ibadah di Kelantan.

- Advertisement -

Saizol Ismail dalam satu hantaran hantaran di Facebook berkata, penyerahan tersebut membabitkan dua lokasi, Surau Warisan Tok Ayah dan Surau at Tarbiyah Abe Haji Fathi Kampung Laut di sini.

Menurutnya, projek dilaksanakan Indah Water Konsortium (IWK) itu dibiayai melalui dana Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembentungan (KWSMP) dan diselia Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Saya bersama wakil dan pegawai SPAN dan juga pasukan dari IWK membuat serahan projek tambah baik kemudahan tandas di rumah ibadat di Kelantan ini, sebanyak dua projek diserahkan hari ini.

“Serahan melibatkan Surau Warisan Tok Ayah dan Surau At Tarbiyah Abe Haji Fathi. Terima kasih buat SPAN meneruskan usaha yang murni ini dan IWK yang komited sebagai agensi pelaksana,” katanya.

Majlis perasmian dan penyerahan tersebut disempurnakan oleh Pengarah Kanan Bahagian Operasi Wilayah (BOW) SPAN, Ir Mohd Jalaludin Sulaiman yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif SPAN.

Turut hadir pada majlis itu Pengarah Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan, Ustaz Mohd Hushaimi Hussian yang mewakili ADUN Pasir Pekan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob.

Dalam pada itu SPAN dalam kenyataan berkata, sebanyak dua daripada keseluruhan 11 projek terbabit yang telah siap dilaksanakan di negeri Kelantan diserahkan secara rasmi bermula semalam.

Secara keseluruhan katanya, sebanyak 23 projek seumpama itu sedang giat dilaksanakan di seluruh negeri Kelantan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang bulan September 2025.

Malah pihaknya kekal komited bagi memperkukuhkan kemudahan pembentungan dan memastikan kemudahan awam khususnya rumah ibadat berada dalam keadaan bersih, selamat dan berfungsi dengan baik. – HARAKAHDAILY 16/7/2025

- Advertisement -