Annuar Musa terima jawatan Presiden TRW

Sasar gemilangkan semula bola sepak Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tan Sri Annuar Musa mengesahkan kesediaannya menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Kelab The Real Warriors (TRW) secara rasmi bermula hari ini, dengan iltizam utama mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Kelantan.

- Advertisement -

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti secara mendalam landskap semasa bola sepak Kelantan serta memahami pelbagai permasalahan yang membelenggu pasukan sejak kebelakangan ini.

“Saya sudah diberikan tawaran itu minggu lepas dan ambil sedikit masa untuk memahami masalah yang sedia ada serta mengambil kira senario bola sepak Kelantan hari ini.

“Setelah mendengar taklimat daripada CEO TRW, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali pagi tadi dan berbincang dengan pihak pengurusan, saya mengambil keputusan untuk menerima tawaran menggalas tugas sebagai Presiden TRW bermula hari ini,” katanya dalam sidang media khas, di sini semalam.

Annuar turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Irwan dan Rozi Muhamad (ADUN Tendong) atas keyakinan yang diberikan kepadanya untuk menerajui semula bola sepak Kelantan.

Menurut beliau, jawatan tersebut diterima dengan satu hasrat besar iaitu mengangkat kembali pasukan Kelantan ke mercu kejayaan.

“Saya yakin kedudukan bola sepak Kelantan hari ini bukanlah tempat yang sewajarnya. Pasukan ini boleh berada di kedudukan yang lebih baik,” tegasnya.

Tambah beliau, usaha merekayasa semula bola sepak Kelantan memerlukan sokongan padu dari semua pihak, khususnya para penyokong.

“Kita semua, terutamanya penyokong, seharusnya bersyukur dengan kewujudan KDN FC yang telah menyelamatkan maruah bola sepak Kelantan selepas kehilangan slot dalam Liga Super.

“KDN FC yang bermula sebagai MPKB-BRI beberapa tahun lalu telah berjaya melonjak ke Liga Super, walaupun berada di kedudukan tercorot. Ini bukan pencapaian mudah,” ujarnya.

Beliau turut menggesa agar penyokong tidak lagi mengungkit soal asal-usul pasukan KDN FC kerana inilah pasukan yang kini membawa nama Kelantan di pentas tertinggi bola sepak negara.

“Saya mahu semua melihat bagaimana JDT bermula mereka hanya bermain di Stadium Pasir Gudang. Tapi dengan kerja keras dan visi yang jelas, mereka berjaya menjadi pasukan hebat di peringkat antarabangsa.

“Jangan kita besarkan perkara-perkara kecil. Tanggungjawab untuk memajukan bola sepak Kelantan adalah tanggungjawab bersama.
“Saya pun berani terima cabaran ini kerana sayangkan pasukan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Annuar Musa pernah memimpin Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan membawa pasukan itu menjulang Piala Malaysia serta Liga Super pada era kegemilangannya.

Untuk rekod Rozi Muhamad ialah bekas Presiden KDNFC yang ditukar menjadi TRW dan kini beliau menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah KDNFC Sdn Bhd. – HARAKAHDAILY 16/7/2025

- Advertisement -