Program KFL cungkil potensi pemimpin muda negeri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Program Kelantan Future Leader (KFL) merupakan inisiatif strategik Kerajaan Negeri Kelantan bagi mencungkil dan melahirkan barisan pemimpin muda yang bersedia menyumbang kepada pembangunan negeri.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, KFL dirangka sebagai platform inklusif kepada golongan belia tanpa mengira latar belakang untuk terlibat secara langsung dalam agenda negeri.

“KFL merupakan kerangka besar untuk membentuk generasi pelapis kepimpinan yang memahami dasar-dasar negeri Kelantan serta bersedia melaksanakannya berlandaskan prinsip “Membangun Bersama Islam”.

“Pembentukan Sekretariat Kelantan Future Leaders (SKFL) ini diharapkan dapat melengkapkan serta memperkukuh peranan agensi sedia ada, khususnya yang terlibat dalam pembangunan belia,” katanya dalam sesi bersama sekretariat tersebut di pejabatnya.

Seramai 15 individu telah dilantik menganggotai SKFL yang berperanan merancang, melaksana, menggerak dan memantau pelaksanaan program KFL mengikut garis masa yang ditetapkan.

SKFL turut bertindak sebagai urus setia dan pemudah cara bagi pelbagai aktiviti di bawah agenda pembangunan belia negeri.

Sementara itu, Nasruddin Mahmud Muhaidin telah dilantik sebagai Penasihat SKFL bersama beberapa alumni Program Generasi Sejahtera Kelantan (Gentera) dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Kelantan.

“Saya menerima lantikan ini dengan hasrat untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan bagi pembangunan belia dan mencungkil bakat kepimpinan di Kelantan ini.

“Lantikan exco ini merupakan satu penghormatan kepada golongan muda untuk menyumbang tenaga dan idea dalam pembangunan kepimpinan negeri,” ujarnya lagi.

Tambahnya, ini juga sekali gus membuktikan bahawa kerajaan negeri Kelantan sentiasa membuka ruang dan peluang untuk anak muda bersama mengemukakan idea dan terlibat dalam menjayakan program dan agenda negeri.

Beliau turut menyifatkan pendekatan ini sebagai selari dengan inisiatif di peringkat antarabangsa dan nasional.

“Bekas Presiden Indonesia, Jokowi Widodo pernah mewujudkan sekumpulan generasi milenial di pejabat Presiden.

“Begitu juga bekas Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yasin pernah bercadang mewujudkan kumpulan yang sama di pejabat Perdana Menteri, namun tergendala apabila Covid-19 melanda dunia,” katanya.

KFL menyasarkan penyertaan belia berusia antara 15 hingga 30 tahun dan dilaksanakan mengikut fasa.

Antara inisiatif utama di bawah program ini termasuklah Kelantan Future Leader Camp, Bootcamp, Academy (KFLA), Program Gentera, Fello Darulnaim dan ADUN Belia Kelantan.

Program ini dijangka menjadi pemangkin utama kepada pembinaan kepimpinan muda yang berkualiti, progresif serta berteraskan nilai Islam selari dengan visi pembangunan belia negeri. – HARAKAHDAILY 16/7/2025

- Advertisement -